Jasmin (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
Oleh Nilam Raon
TAWAU (Isnin, 14 Ogos): Seorang lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah, ditahan kerana memiliki 7.4 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM400,000 di kawasan Jeti Awam, di sini 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisoner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu sepasukan polis bertugas di kawasan jeti berkenaan terserempak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan, membawa karung berwarna putih.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai cuba balik ke negara asal menggunakan laluan laut dan hasil pemeriksaan ke atas karung berkenaan menemukan tujuh bungkusan plastik teh cina bertulis ‘Guanyinwang’ bersama dua bungkusan plastik berisi tepung gandum.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan teh cina berkenaan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram dianggarkan bernilai RM444,400,” katanya dalam sidang media, di sini Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek cuba membawa keluar syabu berkenaan menggunakan laluan laut untuk dijual di negara jiran.
Semakan rekod lampau mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif sebarang jenis dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya lagi.
Jasmin berkata, pihaknya telah membuat rampasan sebanyak 23,734.12 gram dadah jenis syabu sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.