Home Berita Industri pelancongan Semporna terjejas jika notis merah dikeluarkan

Industri pelancongan Semporna terjejas jika notis merah dikeluarkan

Alexander Liew ketika berucap pada Majlis Libat Urus Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Kerajaan Bersama Penggiat Industri Pelancongan di sini.

Oleh Nilam Raon

SEMPORNA (Selasa 22 Ogos): Semua penggiat industri pelancongan di daerah ini dan Sabah akan terkesan jika notis merah dikeluarkan kepada Semporna oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata, pihaknya kini mengambil beberapa langkah drastik jangka pendek dan panjang bagi mengelak tindakan notis merah itu dikenakan.

Menurutnya, perubahan perlu dilakukan sebagaimana saranan dikeluarkan oleh MOTAC bagi memastikan daerah ini terus berkembang sebagai destinasi popular pilihan pelancong dalam dan luar negara.

“Kita risau jika tidak ada perubahan terhadap apa yang diadukan pelancong, notis merah akan dikeluarkan dan apabila notis merah ini dikeluarkan maka pengunjung diberhentikan untuk datang ke Semporna.

“Jadi yang rugi adalah kita bukan sahaja di Semporna malah seluruh negeri Sabah sebab Semporna adalah tumpuan pelancong terutama dari negara luar China,” katanya berucap di majlis Libat Urus Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan di sini.

Katanya, jika notis merah itu dikeluarkan bukan sahaja sektor pelancongan akan terjejas tetapi juga sektor lain yang berkaitan termasuk pengangkutan udara, premis makanan dan sektor ekonomi lain.

“Berkaitan isu ini (amaran MOTAC) kita tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya semua pihak berkaitan industri ini perlu berganding bahu bersama-sama menangani masalah dan menyelesaikannya,” katanya lagi.

Alexander berkata, beberapa langkah drastik bagi mengelak mendapat notis merah daripada MOTAC itu kini sedang dilaksana dan diusahakan untuk dilakukan.

“Kita tidak mahu notis merah itu di Semporna. Maka itu kita akan berusaha membersihkan atau melaksanakan aktiviti menjaga kebersihan seperti bergotong-royong setiap bulan melibatkan semua pihak.

“Kita juga akan mengadakan pertandingan kebersihan, kuatkuasakan notis penutupan mana-mana premis yang gagal mematuhi aspek kebersihan dan membeli sampah dan melakukan kitar semula,” tambahnya.

Turut hadir program itu Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Stanley Chong Hon Chung dan 280 penggiat industri pelancongan di Semporna.

Sebelum ini, Menteri MOTAC Dato Sri Tiong King Sing memberi amaran notis merah dikeluarkan sebagai tindakan terakhir jika aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pelancong di Semporna tidak ditangani.

NO COMMENTS

Exit mobile version