Vivian Wong berucap di segi dialog bersama pengusaha pengangkutan

SANDAKAN (Selasa 22 Ogos): Pelbagai cabaran yang dihadapi lebih 50 pengusaha pengangkutan awam di sini dibincang dalam sesi dialog bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang baharu pada Isnin.
Antara masalah yang mereka hadapi ialah bantuan subsidi kepada bas berhenti-henti, kadar tambang yang tidak seragam, pemasangan alat GPS kenderaan perdagangan, kadar tambang e-hailing yang rendah serta hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan pengusaha pengangkutan awam di Sandakan.
Selepas mendengar masalah yang disuarakan, Pengerusi LPKP Sabah yang juga merupakan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong member jaminan akan melakukan sedaya upaya untuk membantu wakil-wakil perusahaan pengangkutan itu.
Vivian Wong berkata, beliau akan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh pengusaha pengangkutan awam dan menjaga kebajikan mereka.
“Ini adalah antara antara agenda utama saya iaitu untuk membantu mereka selepas dilantik sebagai Pengerusi LPKP Sabah bermula 7 Jun 2023,” katanya di sesi dialog itu yang diadakan di sebuah hotel di Sandakan, Isnin.
Lebih 50 orang wakil persatuan dan pengusaha pengangkutan awam daerah Sandakan menghadiri program itu.
Antara persatuan yang hadir adalah Persatuan Pengusaha dan Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sandakan, Persatuan Teksi Daerah Sandakan, Persatuan Bas Mini Daerah Sandakan, Persatuan Lori-Lori Daerah Sandakan, Persatuan Gabungan Pemandu-Pemandu E-Hailing Daerah Sandakan serta Persatuan Bas Sekolah Daerah Sandakan.
Program diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan. Program yang sama akan turut diadakan di Tawau dan Kota Kinabalu dalam masa terdekat.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi LPKP Sabah Datuk Musa Sulaiman; Setiausaha Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan Malaysia Wan Mohd Asraf Wan Salleh; Pengarah LPKP Sabah Dairin Unsir; Ketua Cawangan JPJ Sandakan Misnan Tamimi dan ASP Daniel Dominic mewakili PDRM.