Hatta (dua kanan) menyerahkan sijil graduasi kepada pelajar pada majlis itu.
Oleh Nilam Raon
SEMPORNA (Khamis 24 Ogos): Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta meningkatkan standard kolej komuniti di daerah ini dari peringkat sijil kepada diploma sebagai usaha menaik taraf kemudahan pendidikan.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (Focal Person) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna Hatta Lisani berkata, cadangan meningkatkan standard kolej ini adalah keperluan terutamanya untuk belia.
Menurutnya, ketika ini Kolej Komuniti Semporna hanya menawarkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang Pelancongan dan Pengembaraan.
“Sekiranya mahu melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah sarjana muda mereka terpaksa keluar ke Tawau, Kota Kinabalu atau semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Graduasi Panglima Pusat Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, di sini Khamis.
Menurutnya, kolej komuniti di Semenanjung kini sudah mula menawarkan kursus atau bidang pengajian sehingga ke peringkat diploma.
“Oleh itu, kami memohon supaya kerajaan dan KPT memberi pertimbangan untuk mewujudkan IPT atau menaik taraf standard kolej komuniti sehingga ke peringkat Diploma,” katanya lagi.
Sementara itu, Hatta juga memohon kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya dapat membantu sektor pendidikan di Semporna melalui penyaluran bantuan atau dana.
Mengulas mengenai program graduasi itu, beliau berkata, SMK Datuk Panglima Abdullah semakin mencatatkan prestasi terbaik dalam bidang pendidikan.
“Empat pelajarnya juga memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan ini adalah satu kejayaan yang sangat tinggi serta membanggakan untuk daerah Semporna,” ujarnya.