Wednesday, March 12, 2025
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

(Hari Pertama) Lapuran SUKMA XX1 2024 dari Kuching

Oleh Vitalis G Bingkasan

Pingat awal dalam genggaman wushu Sabah


Harapan…atlet wushu, Dione (kiri), Amirah (dua dari kiri) dan Fyenlly (kanan) bersama Ronald di Stadium Wushu Sarawak di Kuching.

KUCHING: Tiada pingat setakat ini tetapi sudah ada dalam genggaman Sabah menerusi sukan wushu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024 .

Sukan wushu adalah antara acara yang awal dipertandingkan, bermula kelmarin (13 Ogos)  dan dijadualkan selesai pada Jumaat (16 Ogos) iaitu sehari sebelum upacara perasmian sukan dwi-tahunan terbesar negara tersebut  di sini pada Sabtu (17 Ogos).

Turut bermula awal  adalah sukan bola sepak, berbasikal, sepak takraw, futsal, boling padang dan kriket.

Persaingan merebut pingat bermula dengan lapan pingat emas hari ini iaitu enam dari wushu dan dua menerusi sukan berbasikal.

Belum ada dari berbasikal tetapi sudah ada pingat dalam genggaman dari pasukan wushu selepas tiga atletnya dari acara sanda berjaya melepasi pertarungan suku akhir untuk mara ke pusingan separuh akhir. 

Tiga atlet wushu yang berjaya ke separuh akhir ialah Amirah Sofea Azlan, Dione  Babyline Fely dan Fyenlly Himon.

Amirah mengalahkan See Ke Xin  (Johor) dalam kategori 48kg wanita dan Dione tewaskan Teo Zi Han (Perak) dalam kategori 52kg wanita manakala Fyenlly menang ke atas Zazali Che Zahir (Kedah) dalam kategori 52kg lelaki.

Sukan wushu yang berlangsung di Stadium Wushu Sarawak, di sini,  menawarkan pingat gangsa untuk peserta yang kalah di separuh akhir.

“Tiga atlet kita berjaya ke separuh akhir untuk sah sudah ada pingat gangsa dalam genggaman tetapi tekad kami bukan hanya itu…kami akan berusaha untuk menang pingat yang lebih baik, ” kata pengurus pasukan, Ronald James ketika dihubungi.

Ronald berkata, Amirah adalah sandaran terbaik mara ke final tetapi beliau berharap kesemua mereka mampu ke final.

Menurutnya, skuad sanda wushu Sabah mensasarkan tiga pingat di SUKMA Sarawak.



Popular Articles