Donald (lapan dari kanan) serahkan bantuan kepada wakil Klinik Kesihatan Penampang.
PENAMPANG : – Masalah kerusi rosak menyebabkan kekurangan tempat duduk bagi kegunaan orang ramai yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Penampang, kini sudah diatasi.

Sebanyak 12 set kerusi besi bersambung dan 100 biji kerusi plastik sudah disediakan di ruang tempat menunggu dalam premis kesihatan ini.
Selain kerusi, satu set dispenser air jenama Cuckoo dan dua kipas berdiri juga disediakan.
Majlis penyerahan sumbangan aset itu disempurnakan oleh Pengerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Datuk Donald Mojuntin di sini pada Jumaat.
Beliau mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick. Ewon juga adalah Ahli Parlimen Penampang.
Sumbangan diterima oleh Dr Farah Aishah Hamdan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga yang mewakili Ketua Klinik Kesihatan Penampang Dr Aini Simon Sumeh.
Dalam ucapannya, Dr Farah berkata mereka amat menghargai sumbangan itu kerana ia memberikan keselesaan kepada orang ramai yang datang menerima rawatan di klinik ini.
Katanya, jurang antara keperluan klinik dan keupayaan untuk memenuhi keperluan ini menjadi lebih besar apabila masyarakat melalui fasa pembangunan yang pesat.
“Untuk makluman, jumlah kedatangan pesakit seharian di Klinik Kesihatan Penampang pada tahun lepas adalah di antara 800 dan 900 orang sehari secara purata.
“Tahun demi tahun, jumlah pesakit semakin ramai dan jenis perkhidmatan kesihatan pun semakin bertambah,” katanya.
Sehubungan itu kata Dr Farah, infrastruktur dan aset klinik perlu dinaiktaraf untuk menampung keperluan pesakit dan pengiring mereka yang datang di premis ini.
Katanya, dengan peluang ekonomi semakin meningkat dan bilangan penduduk bertambah, taraf pendidikan juga meningkat.
“Ini mewujudkan jangkaan orang ramai juga semakin tinggi. Mereka mahukan kita sediakan kemudahan selari dengan pembangunan. Namun perkhidmatan kita tidak mampu untuk mengejar pembangunan ini.
“Maka itu kerjasama antara fasiliti kesihatan dan panel penasihat dengan pusat khidmat rakyat, NGO atau sesiapa yang mampu untuk membantu amat dialu-alukan untuk kesejahteraan pesakit,” jelasnya.
Beliau berharap sumbangan ikhlas Pusat Khidmat Parlimen Penampang ini akan memberi manfaat yang berpanjangan kepada semua pihak.
Sementara itu, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Penampang Joseph Alex Chang berkata, sumbangan asas itu diharap dimanfaatkan dan berharap lebih banyak keperluan perubatan dapat dinaik taraf pada masa hadapan.
Beliau berkata, majlis itu adalah program pertama Panel pada tahun ini. Sumbangan aset keperluan itu adalah kemudahan yang mendesak yang diminta daripada Ahli Parlimen Penampang.
Pemberian itu adalah susulan yang dibuat oleh Panel selepas menerima maklum balas dan keluhan orang ramai yang mengadu terpaksa berdiri lama menunggu giliran berjumpa doktor kerana kurang tempat duduk.
Sejak beberapa bulan ini ramai netizen membawa masalah kerusi rosak di klinik kesihatan Penampang yang dibiarkan tanpa penyelenggaraan menyebabkan ramai tidak selesa, dalam media sosial.
Ramai mengadu dalam media sosial lengkap dengan gambar keadaan kerusi panjang bersambung di mana tempat duduknya rosak dan tidak dapat diguna.
Selain sesak dengan pesakit dan pengiring mereka juga mengeluh berasa tidak selesa kerana tidak dapat duduk untuk masa yang lama.
Panel Penasihat Klinik Kesihatan Penampang prihatin dengan keluhan orang ramai yang datang di poliklinik Penampang yang mahukan kemudahan lengkap supaya selesa ketika berada di premis kesihatan ini.