Wednesday, June 25, 2025

Diskriminasi tidak mempunyai tempat dalam reformasi Mahkamah Anak Negeri

William dan Isaiah

KOTA KINABALU : – Dua pemimpin anak negeri Sabah tampil memberikan respons terhadap kenyataan yang dibuat oleh Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, Daniel John Jambun yang mencadangkan reformasi besar-besaran terhadap sistem Mahkamah Anak Negeri, termasuklah pengecualian pegawai-pegawai Muslim daripada pentadbiran hal ehwal anak negeri.

Kenyataan beliau yang menyarankan bahawa hanya anak negeri bukan Muslim sahaja yang layak mentadbir institusi berkaitan undang-undang adat telah menimbulkan kebimbangan terhadap arah tuju dan nada perbincangan reformasi ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.18 Inanam dan bekas Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, Datuk William Majinbon dan Isaiah Majinbon, Ahli Jawatankuasa Reformasi Kehakiman Mahkamah Anak Negeri dan Timbalan Pengerusi Young Advocates Sabah (Sabah Law Society), menyatakan sokongan terhadap usaha memoden dan memartabatkan institusi Mahkamah Anak Negeri.

Namun, mereka dengan tegas menolak retorik yang bersifat memecahbelahkan dan diskriminatif atas dasar agama.

“Secara prinsip, kami bersetuju bahawa Mahkamah Anak Negeri wajar dinaikkan martabatnya agar setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” ujar William.

“Namun begitu, dakwaan bahawa tiada sebarang reformasi telah dijalankan adalah tidak tepat. Di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, proses pendigitalan telah dilaksanakan termasuklah pendigitalan rekod-rekod Mahkamah Anak Negeri pada tahun 2022.”

Isaiah turut menyokong pandangan William namun menzahirkan kebimbangan terhadap naratif agama yang diketengahkan oleh Jambun.

“Adalah amat membimbangkan apabila pentadbiran hal ehwal anak negeri digambarkan seolah-olah telah terjejas hanya kerana penglibatan pegawai Muslim,” jelas Isaiah. “Naratif seperti ini bukan sahaja menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai agama, malah mengandungi unsur diskriminasi. Agama bukanlah penentu kepada kecekapan atau kelayakan seseorang.”

Beliau menegaskan bahawa identiti anak negeri Sabah melangkaui sempadan agama, merangkumi komuniti Muslim dan bukan Muslim, termasuk komuniti Bajau, Brunei dan Dusun Muslim yang telah lama mengamalkan adat serta memainkan peranan dalam Mahkamah Anak Negeri.

“Cadangan bahawa hanya anak negeri bukan Muslim layak mentadbir hal ehwal adat merupakan satu bentuk penafian terhadap sumbangan anak negeri Muslim yang juga mempunyai akar budaya dan pemahaman mendalam terhadap warisan adat masyarakat anak negeri Sabah,” tambah Isaiah.

William turut menegaskan perkara ini dengan menyebut beberapa pemimpin anak negeri Muslim yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam Mahkamah Anak Negeri, termasuk OKK Mohd. Laiman Diki, OKK Haji Mahali, Ketua Anak Negeri Asai Ghani dan Ketua Anak Negeri Taib Meggah.

“Mereka adalah tokoh yang telah memainkan peranan penting dalam menegakkan dan mentadbir keadilan berasaskan adat selama beberapa dekad,” katanya.

Menjawab perbandingan yang dibuat oleh Jambun dengan Mahkamah Syariah, kedua-dua pemimpin ini menjelaskan perbezaan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam hal ehwal undang-undang Islam dan hanya boleh diurus oleh umat Islam. Sebaliknya, Mahkamah Anak Negeri mendapat bidang kuasanya melalui undang-undang adat, yang diamalkan oleh semua komuniti anak negeri tanpa mengira agama.

“Dalam sebarang pertikaian adat, anak negeri beragama Islam mempunyai kedudukan yang sama rata untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Anak Negeri,” ujar William. “Menafikan hak mereka atas dasar agama adalah satu bentuk penafian keadilan.”

Isaiah menambah bahawa segala reformasi yang ingin dilaksanakan mestilah berasaskan meritokrasi yang inklusif dan bukan identiti yang bersifat eksklusif.

“Kriteria untuk mentadbir Mahkamah Anak Negeri harus berpaksikan kepada identiti sebagai anak negeri, penguasaan terhadap adat, serta kecekapan profesional. Latar belakang agama tidak sepatutnya menjadi halangan. Ringkasnya, diskriminasi tidak mempunyai tempat dalam institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah,” tegas beliau.

Mengenai isu pemantauan undang-undang, Isaiah menyangkal dakwaan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa ke atas Mahkamah Anak Negeri. Sebaliknya katanya, satu-satunya kuasa penyeliaan terhadap Mahkamah Rayuan Anak Negeri adalah Mahkamah Tinggi Sivil melalui proses semakan kehakiman.

“Ini menunjukkan perlunya pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf Mahkamah Anak Negeri sebagai satu badan kehakiman bebas yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa struktur kehakiman tiga serangkai di Sabah perlu diwujudkan iaitu Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri yang masing-masing bebas, tetapi setaraf dari segi kedudukan dan fungsi.

Sementara itu, berkenaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Bebas oleh Jambun, William menjelaskan bahawa usaha reformasi telahpun bermula dan sedang berada di peringkat akhir.

“Jawatankuasa Reformasi Kehakiman Mahkamah Anak Negeri, di bawah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), kini giat menggubal draf enakmen baharu bagi memperkukuh asas perundangan serta memperkemas prosedur dalam pentadbiran Mahkamah Anak Negeri,” katanya. “Usaha ini sewajarnya diberi sokongan, bukan diperkecilkan.”

Kedua-dua pemimpin tersebut menyeru agar semangat perpaduan dan kesederhanaan terus dikekalkan dalam usaha pembaharuan.

“Sabah ialah negeri yang dikenali kerana keharmonian dan kesederhanaan,” kata Isaiah. “Reformasi kita mestilah mencerminkan semangat ini dan bukan menjadi alat untuk menafikan tempat atau peranan mana-mana pihak atas dasar agama.”

“Mahkamah Anak Negeri harus terus mencerminkan nilai-nilai semua warga anak negeri Sabah,” tambah William.

“Kita mesti membina sistem yang menyantuni setiap komuniti yang menjadikan adat sebagai warisan bersama.”- Warta Oriental

Hot this week

Rasuah mineral Sabah: Dua ADUN dan ahli perniagaan akan didakwa 30 Jun

Azam Baki...keputusan untuk mendakwa ketiga-tiga individu itu dibuat selepas...

MACC detains Sabah assistant minister linked to mining licenses issue

KOTA KINABALU : - The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC)...

Rural communities vulnerable to online scams, says assemblyman

SANDAKAN: Rural communities in Sabah continue to be exposed...

Isu tanah Kg Karamunting hampir selasai – George Hiew

SANDAKAN : - Isu pertikaian tanah yang berlarutan sejak...

English proficiency important skill for tourism and strong foundation for future employment

Datuk Joniston Bangkuai alongside Kota Kinabalu Rotary Club president...

Topics

Rasuah mineral Sabah: Dua ADUN dan ahli perniagaan akan didakwa 30 Jun

Azam Baki...keputusan untuk mendakwa ketiga-tiga individu itu dibuat selepas...

MACC detains Sabah assistant minister linked to mining licenses issue

KOTA KINABALU : - The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC)...

Rural communities vulnerable to online scams, says assemblyman

SANDAKAN: Rural communities in Sabah continue to be exposed...

Isu tanah Kg Karamunting hampir selasai – George Hiew

SANDAKAN : - Isu pertikaian tanah yang berlarutan sejak...

English proficiency important skill for tourism and strong foundation for future employment

Datuk Joniston Bangkuai alongside Kota Kinabalu Rotary Club president...

Intense battle lies ahead for Merotai in the PRN hot seat

Datuk Ruji Ubi (left) retired CEO ESSCOM is likely...

Emin Madi: PGDK penghargaan amat besar Negeri Sabah untuk diri, Bernama

Emin menerima anugerah PGDK daripada Tun Musa Aman. KOTA KINABALU:...

Sabah on world map as  conservation hub

By Emin MadiKOTA KINABALU : -  The legacy of...
spot_img

Related Articles

Popular Categories

spot_imgspot_img