Lewis Wong…Ramai golongan muda masih tidak tahu dan faham hak hak Sabah dalam MA63.
INANAM: Warisan Inanam mahu mendekati golongan muda untuk menyebarkan kepada mereka hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Fokus parti ini adalah mengenai pemberian khas 40 hasil Persekutuan kepada Sabah yang menjadi sebahagian tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penggerak Warisan DUN Inanam Lewis Wong berkata, ramai golongan muda masih tidak faham dengan pelbagai tuntutan berkaitan dengan hak-hak Sabah dalam MA63 dan kesannya kepada mereka serta masa depan negeri ini.
Isu itu katanya, bukannya baharu dalam sejarah politik dan pentadbiran Sabah tetapi kurang diketahui kerana tidak ditonjolkan atau tidak dijadikan keutamaan untuk sekian lama.
“Sekarang terima kasih kepada beberapa ahli politik Sabah yang prihatin, kita kini dapat melihat kandungan tuntutan dalam MA63 ini di banyak platform media. Kita dapat melihat bahawa banyak hak-hak itu juga semakin terhakis.
“Apabila kita nampak banyak hak yang terhakis, kita berasa perlu melakukan sesuatu untuk mempertahankan hak-hak yang dicatat dalam dokumen itu. Untuk mempertahankannya kita mesti ada pengetahuan yang cukup di dada,” katanya pada Sabtu.

Lewis Wong berbincang dengan mantan CDO N18 Inanam Cyron Chang mengenai hal semasa dan masalah masyarakat Inanam.
Beliau mengakui golongan lebih tua berusia 50an pun ramai yang tidak tahu banyak mengenai isu MA63 terutama perkara paling mendesak sekarang iaitu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“Kita pula semakin miskin sebab kekayaan sudah mereka kautkan. Pada masa yang sama hak-hak kita yang sepatutnya dalam MA63 sudah banyak yang dihakis. Hak untuk mengatur masa depan Sabah juga mereka pegang,” jelasnya.
Sabah katanya mesti terus menuntut 40 peratus hasil Sabah daripada kerajaan persekutuan kerana ia adalah antara hak yang termaktub dalam MA63.
Menurut Lewis, tuntutan ini amat penting kepada Sabah dan jika kerajaan pusat bersetuju membayar, wang hasil kutipan sebanyak 40 peratus yang dituntut itu akan dapat digunakan untuk membangun dan memajukan Sabah.
Isu itu katanya amat relevan kepada semua kerana apa-apa sahaja keputusan berkaitan dengannya akan menentukan masa depan Sabah dari segi pembangunan infrastruktur sektor ekonominya.
“Saya minta semua golongan muda untuk mula membaca dan lengkapkan dada dengan pengetahuan berkaitan MA63 dan apa-apa sahaja isu berkaitan dengan negeri ini. Marilah kita mula amalkan sikap ambi peduli,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Lewis berharap akan ada berita gembira apabila keputusan serta penyelesaian mengenai pemberian khas 40 hasil dibentangkan pada 12 September ini.
Mesyuarat khas yang hanya membabitkan kerajaan negeri Sabah tertumpu kepada perkara 40 peratus itu di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan jawatankuasa mesyuarat kini di peringkat penelitian perincian syor kerajaan Sabah.
Dalam mesyuarat itu nanti beberapa penyelesaian akan diputuskan sama ada secara interim atau sebaliknya.
Untuk daerah Inanam kata Lewis, Parti Warisan sentiasa mengambil berat dengan masalah yang timbul di sana terutama mengenai pembangunan dan masalah sosial.
Isu seperti sampah, masalah yang dihadapi penjaja di tamu, kesesakan jalan raya di pekan yang semakin teruk akan menjadi keutamaan Warisan untuk diselesaikan jika menjadi pemerintah semula.
Dalam hal ini katanya, Warisan mahu mendekati golongan muda ini dan mahu mendengar aspirasi mereka dan mahu berkongsi peluang-peluang yang ada kepada mereka
“Ini juga adalah isu sejarah dan hak rakyat Sabah. Ketika ini pemimpin veteran yang sudah berusia berhempas pulas membawa isu ini ke peringkat perundangan supaya Sabah mendapat hak-haknya.