BEAUFORT : – Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menggesa semua ahli parti agar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Zon Pedalaman Bawah kali ke-40 yang melibatkan lima bahagian iaitu PBS N.30 Bongawan, PBS N.31 Membakut, PBS N.32 Klias, PBS N.34 Lumadan dan PBS N.35 Sindumin di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di sini hari ini, beliau percaya PBS boleh mempertahankan kerusi DUN Lumadan.
“Namun ini bukan tugas yang mudah. Kita tidak boleh terlalu rileks dan tidak ambil peduli, kerana tentangan kali ini lebih hebat. Mereka akan menggunakan kepakaran mereka untuk memecah-belahkan penyokong kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PBS akan terus mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ini.
Dr Joachim turut memuji keperibadian Ketua Bahagian PBS Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, sebagai seorang pemimpin setia kepada parti dan dekat di hati rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli PBS untuk turut membantu calon-calon GRS pada PRN akan datang.
“Kita memerlukan kemenangan majoriti lebih besar di semua kawasan yang ditandingi GRS,” tegasnya.
Dr Joachim juga menegaskan bahawa PBS adalah sebahagian daripada Kerajaan dan akan terus kekal bersama GRS.
“Hanya parti tempatan yang memahami cara menyelesaikan isu-isu di negeri ini. Kita bukan anti-Persekutuan. Kita masih mahu dan perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Hasil perbincangan menerusi MA63 juga telah membuahkan beberapa kejayaan tuntutan untuk Sabah,” ujarnya.
Dr Joachim turut menerima borang keahlian baharu PBS Lumadan seramai 449 orang.
Turut hadir, Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun; Ketua Pergerakan Pemuda PBS, Datuk Dr. Christoper Mandut; dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBS serta Ketua-ketua Bahagian, Exco Wanita, Exco Pemuda, wakil pemerhati dari parti dalam GRS.