Tapak tanah sekolah adat pertama bakal dirampas?

Tanah sudah bersihkan di Kg Lumawang.

Sebahagian daripada Sekolah Adat.

TUARAN : – Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) meminta kerajaan negeri melindungi baki 10 ekar tanah adat di Kampung Lumawang Tuaran sini yang dipercayai bakal diambil untuk pembangunan perumahan.

Pengasas SAANS Shalmon Sanangan berkata, baki 10 ekar itu adalah daripada 150 ekar tanah yang sudah diserahkan oleh kerajaan kepada pemaju untuk membina rumah komersial.

“Malangnya, tanah adat Kampung Lumawang kini berbaki 10 ekar sahaja. Kami merayu kepada kerajaan untuk tidak melepaskan tanah itu kepada pemaju dan sebaliknya melindungi baki tanah adat ini,” katanya.

Menurut Shalmon, perkara ini amat mendesak dan mereka sudah menghantar surat bantahan rasmi dan diterima Timbalan Ketua Menteri Datuk Joachim Gunsalam pada 18 Julai lalu.

Beliau juga memberi amaran tegas jika pemaju terus merosakkan tanaman termasuk herba di kawasan itu beliau akan membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan seterusnya ke pengetahuan Yang Dipertuan Agong.

Menurutnya ada dua sebab mendesak kenapa tanah itu perlu dilindungi dengan apa cara sekalipun. Pertama sekolah adat pertama dibina atas tanah itu dan kedua wujud pelbagai herba tertua tumbuh di sana.

“Di atas tanah Kampung Lumawang sekolah adat SAANS pertama dibina lima tahun yang lalu. Di sinilah juga ibu pejabat sekolah adat yang menjadi pusat kepada perjumpaan dan aktiviti orang asal dari seluruh Sabah.

“SAANS kini dianggotai ribuan orang yang menyertai sekolah-sekolah adat yang sudah dibina di beberapa daerah di Sabah. Hasrat SAANS adalah untuk membina satu sekolah adat di setiap daerah.

“Dan hasrat itu tidak akan menjadi kenyataan jika tanah sekengkang kera ini pun diambil atas nama pembangunan,” katanya.

Menurut Shalmon, jika tanah yang menempatkan kelas-kelas dan ibu pejabat sekolah adat yang dibina hasil keringat orang-orang asal ini dirampas, maka tiada harapan bagi masyarakat pribumi untuk hidup atas tanah mereka sendiri.

Sebab kedua tanah itu mesti dipertahankan katanya, adalah untuk melindungi khazanah tanaman herba tertua yang wujud di Sabah.

Menurutnya, kerosakan dan kehilangan tanah adat di Kampung Lumawang ini akan menjadi satu tragedi yang mengancam warisan budaya, sejarah dan ekologi yang tidak ternilai.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan kelangsungan khazanah berharga ini,” tegasnya.

Shalmon berkata, kehilangan tanah ini bukan sahaja mengancam warisan tempatan tetapi juga menjejaskan hasrat Sabah untuk mendapat pengiktirafan berprestij ‘Triple Crown of Borneo’.

Tapak ini juga katanya, bakal disenaraikan dalam UNESCO Good Safeguarding Practices dengan lawatan UNESCO dijadualkan pada November 2025 ini.

Shalmon yang juga Ahli Jawatankuasa Pakar Warisan Adat Negara menegaskan bahawa tanah adat di kg Lumawang bukan sekadar pusat pemeliharaan tanaman herba. Ia adalah satu-satunya pusat rujukan dan pemeliharaan adat budaya yang sistematik di daerah Tuaran.

Sejak diwujudkan SAANS sudah berkembang pesat dengan aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan aset negara yang semakin pupus seperti bahasa ibunda dan pengetahuan adat budaya masyarakat orang asal.

Tapak ini juga kaya dengan sejarah, di mana penempatan sudah wujud sebelum zaman Jepun dan berfungsi sebagai pangkalan lama bagi membawa hasil hutan dan hasil tani menggunakan perahu sejak zaman British.

“Kehadiran ‘Batu Touh’ atau batu sumpah di kawasan ini secara jelas menandakan statusnya sebagai tanah adat yang tidak boleh diganggu atau dimusnahkan (ditagal),” tambahnya.

Kepentingan Kampung Lumawang ini menarik perhatian ramai pengkaji dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di mana kerjasama ‘Makmal Hidup  Sekolah Adat Anak Negeri’ dijalinkan.

Universiti Institut Mara Malaysia (UiTM) dan International University Of Nagasaki Japan juga membuat kajian di sana.

Selain itu kata Shalmon, Pusat Kepelbagaian Hayat Sabah (SaBC) juga telah melawat kawasan ini bagi tujuan perluasan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark sehingga ke Tuaran.

“Kami menggesa kerajaan negeri untuk bertindak segera bagi melindungi baki 10 ekar tanah adat ini demi generasi akan datang,” kata Shalmon.