KOTA KINABALU : – Datuk Amir Kahar bin Tun Datu Mustapha mantan ADUN Banggi selama lima penggal (1986-2008) dan mantan Ahli Parlimen Merudu selama tiga penggal (1990-2004) menyertai STAR Sabah ada Khamis.

Penandatanganan dan penyerahan borang kepada Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, telah disaksikan oleh ahli STAR Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.
Berita ini dimuat turun dalam media sosial Dr Jeffrey Kitingan.
Datuk Amir ialah anak kepada Tun Datu Mustapha bin Dalu Harun Yang di-Pertua Negara Sabah pertama dan Ketua Menteri Sabah ketiga, Bapa Kemerdekaan Sabah dan Bapa Pembangunan Sabah.
Kahar berkata, kurang 25 tahun umurnya akan mencecah 100 tahun, namun beliau kembali menyertai politik melalui parti STAR kerana kesedarannya terhadap kedudukan Sabah yang kini tergugat bukan peperangan tetapi secara ekonomi.
“Rasuah di sana sini, inilah yang membimbangkan saya! Kalau tidak, saya ingin menikmati hidup,” ujarnya.
Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai persediaan untuk akhirat, menekankan kepentingan berbuat baik di dunia.
“Sebab itu, saya sudah berfikir panjang sepanjang tahun ini. Inilah cara saya. Bagaimana kita menghapuskan rasuah ini, dengan cara saya menyertai politik.
“Jadi sudah berfikir cukup lama, ada kawan, Doktor Jeffrey, bukan kawan tetapi saudara. Kerana, kita berjuang dari awal, dari tahun 1986 sehingga 1994, kita tidak pernah berpisah.
“Yang memisahkan kita ialah orang-orang yang tidak suka kita. Jadi dengan ikhlas, saya berjuang untuk rakyat kita yang miskin.
“Miskin tegar ini saya lihat dalam buku tidak ada. Sebab bagi saya, miskin ini orang putih bilang “above the poor”.
“Sabah merupakan salah satu negeri terkaya di Malaysia tetapi hari ini Sabah paling miskin.
“Saya mintalah rakyat Sabah bersama-sama memperjuangkan nasib kita, untuk masa depan anak cucu.
“Kita yang sudah berumur ini, sudah biasa susah, sudah biasa senang, tetapi yang baru umpama lahir 15 tahun, 17 tahun, 20 tahun dan 30 tahun ini, mereka tidak rasa. Macam saya ini, susah senang sudah rasa.
“Mudah-mudahan matlamat kita akan tercapai kerana nasib kita ini di tangan kita,” katanya.
Kahar akhiri dengan pesan bahawa “tangan inilah yang membawa nasib” yang baik atau sebaliknya.