Suhaimi menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Team MODE Universiti Teknologi MARA , Ts. Dr. Rozlianah Fitri Said sambil Pengarah Jabatan KEMAS Negeri Sabah, Ahmad Fakhrul Azman bin Muhammad (kanan).
SANDAKAN : – Remaja hari ini adalah pewaris negara pada masa hadapan dan perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran serta jati diri yang kukuh, kata Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir.
Beliau berkata, penganjuran Program Mini Ekspo Kemahiran Remaja (MEKAR) dan Motivasi Desa (MODE) merupakan wadah penting bagi membantu golongan muda membina keyakinan diri, mengasah bakat serta menonjolkan potensi masing-masing.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelbagai bidang kemahiran, malah mampu membentuk remaja yang berdisiplin, kreatif dan berdaya saing. Remaja yang berkemahiran akan menjadi aset bernilai untuk pembangunan negara,” katanya.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MEKAR anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Dewan PPR Muhibbah, Sungai Manila Sandakan, pagi tadi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KEMAS dan semua pihak yang menjayakan program itu serta berharap agar peserta memanfaatkan peluang dengan sebaiknya sepanjang program berlangsung.
“Dengan sokongan berterusan ibu bapa, masyarakat dan agensi kerajaan, kita yakin remaja kita mampu muncul sebagai generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta bersedia menjadi pemimpin pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Suhaimi turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana menganjurkan program MEKAR yang memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran remaja, khususnya di Parlimen Libaran.