Hormati Hari Ibadah: Madius Seru SPR agar Penamaan Calon dan Hari Mengundi Diadakan antara Isnin Hingga Khamis


TUARAN : — Susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian pada hari beribadah iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menurutnya amalan untuk mengadakan proses penamaan calon dan pilihan raya pada hari-hari beribadah itu sama sekali tidak menggambarkan penurutan terhadap prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Hari Jumaat merupakan hari beribadah bagi umat Islam; hari Sabtu pula adalah hari ibadah bagi penganut Seventh-Day Adventist dan True Jesus Church; manakala hari Ahad menjadi hari ibadah bagi penganut Kristian lain termasuk Roman Catholic dan Protestan.

“Saya mencadangkan agar proses penamaan calon dan pembuangan undi diadakan pada hari biasa, iaitu antara Isnin hingga Khamis bagi menunjukkan penghormatan terhadap kepelbagaian agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Madius, prinsip Rukun Negara dengan jelas menuntut agar setiap penganut agama diberikan ruang dan hormat untuk menunaikan ibadah tanpa gangguan urusan lain termasuk aktiviti pilihan raya.

“Apabila kita mahu melaksanakan sesuatu prinsip, kita harus menjiwai dan menghidupinya.

“Begitu juga dengan Rukun Negara, ia bukan sekadar prinsip ikrar yang dilafazkan di bibir semata-mata, tetapi dilaksanakan dan menjadi panduan nilai dalam kehidupan bernegara,” katanya lagi.

Beliau yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberitahu, fakta membuktikan proses pilihan raya pernah diadakan bukan pada hari beribadah.

“Misalnya, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 diadakan pada hari Rabu, manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei 2015 jatuh pada hari Khamis, kedua-duanya berjalan dengan lancar.

“Namun, beberapa pilihan raya kebelakangan ini diadakan pada hari beribadah.

“Contohnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dan hari penamaan calon pada 5 November 2022, kedua-duanya jatuh pada hari Sabtu.

“Pelaksanaan pada hari beribadah ini menimbulkan kesulitan kepada penganut agama yang menunaikan ibadah pada hari tersebut,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, Madius turut mengambil contoh negara jiran Indonesia yang menzahirkan prinsip Pancasila dalam kehidupan bernegara sebagai cerminan nilai spiritual dan keharmonian rakyatnya.

“Jika kita benar-benar menghormati Rukun Negara, kita harus memastikan setiap keputusan mencerminkan nilai yang kita anuti.

“Menghormati hari ibadah semua agama adalah sebahagian daripada Kepercayaan kepada Tuhan,” tambah Madius.