Kenyataan Media
SANDAKAN: – Kami dengan ini secara rasmi mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersama-sama dua cawangan DAP di bawah pimpinan kami.
Keputusan ini bukan dibuat dengan tergesa-gesa, sebaliknya ia dibuat selepas menilai dengan teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.
Kami telah melihat dengan jelas tindakan-tindakan tersirat daripada kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di Tanjong Papat tanpa sebarang rundingan atau perbincangan rasmi.
Halatuju DAP Sabah kini hanya menumpukan kepada kelompok muda untuk mengetuai parti, dengan mengabaikan peranan pemimpin veteran dan senior yang sekian lama berkorban serta menyumbang kepada parti.
Ini menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pemimpin veteran dan senior yang telah sekian lama berkorban dan menyumbang kepada parti.
Kami sebulat suara berpendapat bahawa dalam mana-mana organisasi, perlu ada struktur kepimpinan yang seimbang, sama ada di peringkat atasan mahupun akar umbi, agar organisasi dapat berkembang secara harmoni dan inklusif.
Kami ingin menegaskan bahawa keputusan ini tidak dibuat dengan ringan.
Selama bertahun-tahun, kami telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan parti. Namun apabila prinsip kejujuran, saling menghormati dan perjuangan bersama tidak lagi dihargai, maka kami mengambil langkah ini dengan hati yang teguh.
Walaupun keputusan ini pahit, kami melakukannya demi mempertahankan prinsip perjuangan dan kepercayaan rakyat.
Kami ingin menegaskan bahawa perkhidmatan kami kepada rakyat tidak akan terhenti di sini.
“Kami akan terus berjuang untuk rakyat seperti biasa dengan keikhlasan, komitmen dan keberanian.
Platform politik boleh berubah, tetapi semangat berbakti kepada rakyat tetap menjadi keutamaan kami,” tegas kami berdua.
Dengan pengumuman ini, kami bersama pengikut dan cawangan kami akan bergerak secara bebas daripada struktur DAP, sambil meneruskan khidmat dan perjuangan politik di peringkat akar umbi seperti biasa.
Datuk Frankie Poon, Mantan Pengerusi DAP Sabah
&
Liau Fui Fui, Mantan Setiausaha Organisasi DAP Sabah