UPKO: Hormati Autonomi PH Sabah, Isu Logo Bukan Ukuran Kesetiaan

47

Rayner RBI… UPKO cadang guns logo sendiiri tidak wajar dilihat sebagai tanda kurang setia.

TUARAN : – Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memaklumkan bahawa cadangan mengenai penggunaan logo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang perlu dilihat secara matang dan berlandaskan semangat muafakat dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi, berkata bahawa Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini telah memberikan autonomi kepada PH Sabah untuk menentukan pendekatan dan strategi politik di peringkat negeri.

“Dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah pada 29 Mei 2025, Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa PH Sabah mempunyai empat ketua mewakili empat parti komponen, dan penyelarasan keseluruhan akan diterajui oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick,” katanya.

Rayner menambah bahawa kenyataan tersebut memperlihatkan kepercayaan serta penghormatan kepimpinan pusat terhadap keunikan politik Sabah, dan UPKO berpegang kepada semangat tersebut dalam setiap pertimbangan.

“Cadangan penggunaan logo parti tidak wajar dilihat sebagai tanda kurang setia, sebaliknya sebagai sebahagian daripada strategi politik yang mengambil kira identiti tempatan. PH Sabah sentiasa mengamalkan prinsip perbincangan dan kesepakatan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa PKR sebelum ini juga menggunakan logo parti dalam PRN Johor pada tahun 2022, manakala Amanah dan DAP menggunakan logo Pakatan Harapan.

“Contoh ini menunjukkan bahawa PH sememangnya terbuka terhadap kepelbagaian strategi di bawah satu payung kerjasama. Jadi, tidak timbul isu kesetiaan dalam perkara ini,” katanya lagi.

Rayner berkata, UPKO yakin kepimpinan tertinggi PH tidak melihat isu ini sebagai satu perbalahan, sebaliknya akan menanganinya dengan kebijaksanaan seperti mana kebiasaan dalam gabungan itu.

“Kita serahkan ruang ini kepada Majlis Presiden PH untuk meneliti dan memutuskan dengan cara terbaik. Bagi UPKO, yang paling penting ialah memastikan kesatuan dan kekuatan bersama terus diperkukuh demi rakyat,” tambahnya.

UPKO kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dalam Pakatan Harapan, selaras dengan semangat saling menghormati dan tanggungjawab bersama membina masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera.

Previous articleSAPP attracts youth with Sabah Rights Agenda, says vice president Lau
Next articleKGKS supports the reintroduction of caning in schools