TUARAN : – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Isnin sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang bakal diadakan.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan menjaga keharmonian antara agama, kelancaran urusan rakyat yang bekerja jauh dari kampung halaman, serta usaha menghidupkan nilai sebenar dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Ada yang berpendapat hari mengundi tidak wajar diadakan pada hari biasa kerana kononnya akan menjejaskan persekolahan.
“Namun, saya melihat ini dari sudut lebih luas iaitu sejauh mana kita benar-benar mengamalkan nilai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Untuk rekod, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebut bahawa: “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”
Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, falsafah ini bukan hanya untuk murid di bilik darjah, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar dan tindakan kerajaan supaya menjadi contoh kepada generasi muda.
“Bagaimana mungkin kita dapat menerapkan falsafah ini dalam kalangan murid-murid sekiranya amalan di peringkat nasional pun tidak mencerminkan nilai tersebut?
“Jika kita sendiri tidak menunjukkan keseimbangan antara urusan dunia dan ibadah, sukar bagi pelajar memahami maksud sebenar pendidikan menyeluruh,” tegasnya.
Madius turut mengingatkan bahawa dalam Prinsip Pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, setiap penganut agama perlu dihormati dalam menjalankan ibadah masing-masing.
“Sebelum ini saya telah menyatakan bahawa kita mesti menghormati hari-hari ibadah seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.
“Jika tarikh pilihan raya jatuh pada hari ibadah, SPR boleh dianggap tidak peka dan seolah-olah melanggar semangat Rukun Negara,” katanya.
Katanya, hari Jumaat merupakan hari beribadah bagi umat Islam; hari Sabtu pula adalah hari ibadah bagi penganut Seventh-Day Adventist dan True Jesus Church; manakala hari Ahad menjadi hari ibadah bagi penganut Kristian lain termasuk Roman Catholic dan Protestan.
“Hari Isnin adalah yang terbaik kerana mereka yang bekerja jauh boleh pulang ke kampung lebih awal pada hujung minggu, beribadah bersama keluarga, dan menunaikan kewajipan mengundi pada Isnin. Ia juga menjimatkan cuti dan kos perjalanan,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti khas seperti semasa PRU14 pada tahun 2018, yang diadakan pada hari Rabu, bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Pilihan raya bukan sekadar proses politik, tetapi juga satu pendidikan kepada rakyat.
“Jika kita mahu rakyat mendukung nilai-nilai murni, maka kerajaan dan SPR mesti menunjukkan teladan yang baik,” katanya lagi.



