Datuk Joniston Bangkuai menerima borang keahlian PBS daripada Justin Ginduk.
KIULU : – Seramai 33 individu termasuk bekas penjawat awam kanan daripada beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kiulu mengemukakan permohonan untuk menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kumpulan berkenaan diketuai bekas Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk, menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Penerangan PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, dalam satu majlis ringkas di sini, pada Khamis.
Antara mereka yang mengemukakan permohonan ialah bekas Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau, Henry Timbangan dan beberapa pemimpin masyarakat.
Justin berkata, keputusan mereka menyertai PBS dibuat secara sebulat suara bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Joniston serta perjuangan berterusan parti itu dalam membawa pembangunan dan perubahan di kawssan Kiulu setta membela hak rakyat Sabah.
“Kami menyertai PBS kerana percaya terhadap kepimpinan Datuk Joniston. Beliau telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin berwibawa yang sentiasa bersama rakyat dan bekerja keras demi kesejahteraan mereka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah parti yang konsisten, berprinsip dan komited terhadap pembangunan luar bandar serta pemerkasaan komuniti.
Sementara itu, Joniston yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, menyambut baik kemasukan ahli baharu berkenaan dan menyifatkannya sebagai petanda sokongan akar umbi terhadap PBS semakin kukuh di Kiulu.
“Keputusan pemimpin masyarakat dan bekas penjawat awam berpengalaman menyertai PBS mengukuhkan lagi komitmen parti untuk terus berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat.
“Ini menunjukkan mesej perpaduan dan khidmat bakti yang dibawa PBS masih mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.
Joniston turut menegaskan PBS akan terus memperkukuh hubungan dengan komuniti bagi memastikan pembangunan luar bandar terus dipertingkat dan manfaatnya dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Kiulu.


