Jalan pertanian Balabakan-Singgaron mendorong petani produktif

64

Joyrul Somudin (kanan) berkongsi dengan Datuk Joniston Bangkuai mengenai aktiviti pertaniannya di kawasan Balabakan.

KIULU : – Usaha agresif membina dan menambah baik jalan pertanian di Kiulu mula memberi kesan kepada komuniti setempat, termasuk petani seperti Joyrul Somudin yang kini lebih mudah mengurus tanaman padi bukit dan tanaman atas air di Kampung Balabakan.

Berhampiran kebunnya, Joyrul turut menggunakan aliran air di kawasan itu untuk membina kolam ikan sebagai sebahagian daripada aktiviti pertanian mereka selepas jalan pertanian dibuka dan akses ke kawasan tersebut bertambah baik.

“Sekarang lebih senang untuk kami urus tanaman dan hasil. Ia juga memberi suntikan semangat kepada petani untuk teruskan kerja di kebun,” katanya.

Joyrul berkata langkah membuka jalan pertanian memberi dorongan kepada petani untuk kekal produktif dan menyokong rancangan pembangunan pertanian sedia ada.

“Kami harap usaha ini berterusan supaya kami dapat terus mengusahakan tanah dengan lebih lancar dan hasil lebih terjamin,” ujarnya.

Jalan pertanian Balabakan-Singgaron merupakan satu daripada 47 jalan pertanian di Kiulu yang dikenal pasti untuk penambahbaikan dan naik taraf tahun ini.

Beberapa jalan lain sudah dibuka dan sedang dalam pelaksanaan, memberi manfaat kepada lebih 1,400 petani di Kiulu yang mengusahakan 6,680 ekar kawasan pertanian di Kiulu.

Penyandang kerusi DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, sebelum ini mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Mac lalu bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut melalui peruntukan RM1.5 juta dana ADUN.

“Pembukaan jalan pertanian ini sebahagian daripada inisiatif pembangunan pertanian yang telah dirancang bagi memastikan para petani mempunyai akses lebih baik ke kawasan mereka,” kata Joniston.

Beliau berkata inisiatif ini selaras dengan aspirasi komuniti petani yang mahu kemudahan asas pertanian terus dipertingkat, sekali gus melengkapi aktiviti pelancongan berasaskan pertanian di Kiulu.

“Usaha menaik taraf kemudahan seperti ini bukan sahaja memudahkan kerja petani, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan aktiviti agropelancongan yang mampu menambah pendapatan penduduk luar bandar.

“Kita mahu melihat inisiatif ini dapat diteruskan agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan,” katanya.

😍

Previous articleBersatu and it’s partners to field enough winnable candidates to form a State Government
Next articleLewis Wong retains president of the Sabah Chinese Cultural Association