Penyelidik Muda UMS Menang Anugerah Kebangsaan Sains & Teknologi

43

Dr Ng (dua kanan) menerima anugerah daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman (dua kiri). Turut kelihatan Prof. Ir. Dr. Rosalam (tepi kanan).

PUTRAJAYA :– Penyelidik muda Universiti Malaysia Sabah (UMS), ChM. Dr. Ng Chi Huey, mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai penerima Excellence in Outstanding Early Career Research Award (Science & Technology) sempena Malaysian Scopus Research Star Award 2025 yang berlangsung di Hotel Everly, di sini pada Khamis.

Pensyarah dari Program Minyak dan Gas, Fakulti Kejuruteraan UMS itu menerima sumbangan RM2,000 daripada Elsevier sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan beliau dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat awal kerjaya akademik.

Dr. Ng kini mengetuai projek penyelidikan bernilai RM1 juta yang dibiayai oleh PETRONAS, berfokus kepada penghasilan hidrogen daripada air melalui teknologi pemangkin (catalyst splitting) iaitu satu inovasi strategik yang menyokong aspirasi negara ke arah tenaga bersih dan mampan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, pencapaian Dr. Ng membuktikan kemampuan penyelidik muda UMS untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“UMS amat berbangga dengan kejayaan Dr. Ng yang memperkukuh reputasi universiti dalam bidang tenaga baharu dan teknologi hijau.

“Ini mencerminkan komitmen UMS dalam melahirkan penyelidik muda yang berpotensi tinggi dan berimpak kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis anugerah berprestij itu dianjurkan oleh Elsevier dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengiktiraf penyelidik Malaysia yang menunjukkan pencapaian cemerlang berdasarkan data sitasi Scopus.

Previous articleThe News Media Scene Of Sabah
Next articleSabah GE 17 : Can a coalition of Warisan, Star and SAPP topple Hajiji’s GRS coalition?