Madius…jangan merayu keputusan Mahkamah kerana jika ingkar rakyat akan bangkit menghukum.
KOTA KINABALU : – Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan naratif mengeliru yang menghalalkan tindakan salah seperti mengguna perkataan “peraturan sementara” ataupun “interim” bagi menggantikan perkataan “tunggakan” dalam isu hasil 40 peratus Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau berkata, bermula 2025 hingga tahun 2029 Sabah akan menerima Rm600 juta setahun dalam bentuk apa yang dinaratifkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “Pemberian Khas”.
“Jumlah itu diberi berasaskan kepada Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2025 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan ini pada 27 Ogos 2025.
“Pewartaan dibuat selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berunding apa yang dinaratifkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “Pemberian Khas” interim atau Sementara seperti yang dibuat pada tahun 1971, 2019, 2021, 2022 dan, 2023,” katanya.
Namun menurut Madius, Tindakan itu adalah satu Pelanggaran Undang-Undang sebab sepatutnya asas perundingan di bawah Perkara 112D adalah Perkara 112C Seksyen (1) (a) Seksyen 2, (1)(a) (b) Bahagian IV Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
Madius berkata demikian dalam perbahasan Bagi Maksud Tanggungan 12 Perbendaharan Kementerian Kewangan Bajet 2026 Peringkat Jawatankuasa pada Khamis lalu.
Beliau mengingatkan perbicaraan Sabah Law Society (SLS) vs Kerajaan Persekutuan di mana Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 telah mengisytiharkan bahawa Pemberian Khas yang diberikan kepada Sabah secara interim adalah satu pelanggaran Undang-Undang.
Katanya, Persekutuan juga mesti menghentikan naratif lain seperti “komitmen” untuk menggantikan perkataan “pematuhan”, dan “pertimbangan khas” menggantikan frasa “hak kelayakan undang-undang” dalam isu hasil 40 peratus.
“Sebaliknya Kerajaan Persekutuan akur dan menerima baik keputusan Mahkamah kerana asas pertimbangan Undang-undang adalah sangat jelas,” katanya.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada bulan lalu yang memerintah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berunding dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40 peratus yang wajar dikembalikan kepada Sabah.
Mahkamah juga mahu Kerajaan Persekutuan melaksanakan bayaran atau pelunasan amaun yang dipersetujui dalam tempoh 180 hari selepas rundingan tersebut selesai.
“Keputusan mahkamah itu adalah kemenangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sebab itu adalah asas. Itulah syarat pembentukan Malaysia. Singapura ketika itu meminta 60 peratus. Sabah cuma minta 40 peratus. Dan kedua-duanya telah dipersetujui dan perjanjian pun sudah dimeterai,” katanya.
Menurutnya, tindakan Kerajaan Persekutuan selama lebih 50 tahun menafikan hak Perlembagaan Sabah itu sering diputerbelit melalui naratif dan kata-kata nista bertujuan menafikan hak tersebut.
Tangau juga terkilan kerana suara Tuaran sering dicaci tetapi tidak pernah dijawab oleh pihak yang berwajib ketika berada di Dewan.
“Contoh dalam perbahasan di peringkat dasar Tuaran berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan RM600 juta kepada Sabah yang diletakkan dibawah Pemberian Khas Tahunan Sabah.
“Namun ada pihak yang sengaja memotong video ucapan saya dengan membuang kenyataan saya bahawa perkataan interim tidak wujud dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan tetapi masih digunakan oleh Kerajaan,” jelasnya.
Menurut Tangau, dalam perbahasannya kali ini ada pihak yang melemparkan tohmahan mempersoalkan kenapa baru sekarang bersuara kenapa tidak dari dahulu lagi.
“Awal-awal lagi saya katakan bahawa tohmahan seperti itu adalah fitnah, sebab saya konsisten dalam berjuang dan bersuara dari dulu sampai sekarang sama ada di dalam Dewan ini, di Kabinet mahupun dalam Majlis Perundingan Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya sedih sekali siapapun pemimpin Persekutuan layanan terhadap persoalan yang saya suarakan sama saja. Pada kali ini perkara ini (40 peratus) sudah diputuskan oleh Mahkamah tetapi mereka masih tidak mahu terima.
“Sepatutnya terimalah. Hormatilah. Cukuplah janji jadi mainan, cukuplah alasan tidak berhenti. Maruah Sabah bukan pertaruhan. Ingatlah Manisfesto, Laksanakan MA63,” tambahnya.
Beliau mengingatkan bahawa angka 40 peratus itu adalah hak mutlak Sabah dan ia termaktub jelas dalam perlembagaan.
“Tolong jangan dirayu keputusan Mahkamah kerana jika ingkar rakyat akan bangkit menghukum,” katanya.



