UMS Catat Sejarah Terima Lebih 850 Pelajar Mobiliti Antarabangsa

70

Prof Dr Rossita (tengah) menyampaikan anugerah fakulti kepada salah satu penerima

Prof Dr Rossita merakamkan gambar bersama pelajar antarabangsa.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat sejarah apabila menerima lebih 850 pelajar mobiliti antarabangsa pada tahun ini, jumlah tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kehadiran pelajar antarabangsa, termasuk pelajar sepenuh masa dan mobiliti telah memperkayakan komuniti kampus melalui pertukaran budaya, tradisi dan perspektif global.

“Pelajar daripada pelbagai negara membawa pengalaman unik yang membantu memperkukuh persahabatan, persefahaman dan rasa hormat dalam komuniti akademik global.

“Perbezaan budaya bukanlah penghalang sebaliknya ia adalah kekuatan yang menyatukan kita,” katanya sempena Majlis International Night Dinner, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Prof Dr Rossita Shapawi.

Beliau menambah, sambutan tahun ini bertepatan dengan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN, di mana ia mengingatkan pentingnya kerjasama serantau dan hubungan antara masyarakat di negara anggota.

“Kepada pelajar-pelajar dari Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam dan Timor Leste, kehadiran anda mencerminkan semangat ‘ASEAN Unity in Diversity’.

“Hubungan serantau yang kukuh bermula daripada hubungan antara komuniti, termasuk di dalam kampus,” katanya.

Majlis pada malam itu juga katanya bukan sahaja bertujuan meraikan kepelbagaian budaya tetapi juga menghargai sumbangan pelajar antarabangsa dalam mengukuhkan hubungan pendidikan merentas sempadan.

Pada majlis itu, pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan oleh pelajar antarabangsa dari Jepun, China, Indonesia, Pakistan dan Brunei Darussalam. Penyampaian sijil tamat program mobiliti kepada 42 pelajar dari Changsha University, China juga diadakan.

Rossita turut menyampaikan empat anugerah fakulti, iaitu anugerah Internationalisation and Mobility Engagement Program kepada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Anugerah Collaborative Internasional Learning Mobility Programme kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan; Anugerah Global Mobility Impact Programme kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; dan Anugerah Global Blended Mobility Award kepada Institut Penyelidikan Bioteknologi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Pengantarabangsaan & Penglibatan Global, Prof Madya Dr Wardatul Akmam Din.

Previous article40 peratus: Madius mahu KL henti naratif mengeliru
Next articleUMS-PAM Sabah Perkukuh Kerjasama Bangunkan Pendidikan Alam Bina