Cipta sejarah, 12 calon rebut kerusi Moyog

249

PENAMPANG : – DUN Moyog mencipta sejarah hari ini apabila 12 orang menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya umum Sabah ke-17 yang akan diadakan pada 28 November ini.

Ia adalah jumlah paling banyak pernah dicatat dalam sejarah mengundi daerah ini di mana biasanya jumlah yang bertanding tidak sampai 10 orang.

Kali terakhir PRU pada 2020 seramai tujuh yang bertanding di mana calon Warisan Datuk Darell Leiking memenanginya.

Suasana pencalonan berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Semua penyokong parti bersedia di tempat berkumpul masing-masing seawal jam 6 pagi.

Pada jam 8.30 pagi mereka mula berarak menuju ke Pusat Pencalonan di Dewan Kebudayaan Penampang.

Kesemua 12 calon bersama pencadang dan penyokong menyerahkan borang mengikut jadual silih berganti dan dalam masa sejam Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengesahkan kelayakan mereka bertanding.

Seperti biasa suasana pencalonan meriah dengan teriakan slogan parti masing-masing, menyemarakkan lagi suasana.

Parti politik di Penampang yang dilihat sebagai pesaing hebat adalah Warisan dengan calonnya Terrence Siambun yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sini pada 2013–2018.

Penyandang sekarang juga adalah daripada Warisan iaitu Datuk Darell Leiking.

Darell tidak bertanding kali ini untuk memberi laluan kepada Terrence.

Seorang lagi bekas Adun Moyog Datuk Donald Mojuntin (2008 – 2013 turut menyerahkan pencalonan untuk bertanding atas tiket Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Beliau juga adalah pesaing besar dan dikatakan ada peluang meraih banyak undi selepas Presiden Upko meletak jawatan dalam kabinet Persekutuan dan selepas itu Upko keluar daripada Pakatan Harapan.

Penyokong melihat tindakan kepimpinan Upko itu ‘menaikkan saham’ parti kerana berani berjuang mempertahankan isu 40 peratus hasil Sabah.

Isu ini disukai rakyat kerana mereka melihat bahawa akhirnya ada parti yang benar-benar mahu membela nasib mereka.

Seorang lagi calon, Joe Suleiman yang dikatakan sebagai ‘seorang pemimpin paling rajin turun padang di Penampang’ yang bertanding atas tiket Star akan turut memberi saingan dalam pilihan raya kali ini.

Beliau bertanding dalam PRU-16 menggunakan tiket yang sama tetapi kalah kepada Darell.

Beberapa calon muda dan bersemangat tinggi dengan harapan dapat mengubah wajah Moyog menjadi daerah paling dinamik adalah Mckery Victor Ninin daripada parti PKDM dan Joeynodd Bansin. Kedua-duanya profesional dengan latar belakang sebagai jurutera.

Calon-calon yang lain adalah Remysta Jimmy Taylor dari Pakatan Harapan, Walter Norbert Johnny (Parti Bumi Kenyalang), Ricky Chang (Bebas), Richard Ronald Dompok, Francis Mojikon (Perikatan Nasional), Cleftus Stephen Spine (Parti Impian Sabah) dan Peter Maurice Lidadun (Bebas).

Moyog akan mendapat keputusan apabila 31,084 pemilih berdaftar mengundi pada 29 November.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan sebanyak 73 kerusi DUN akan menjadi rebutan seramai 596 calon pelbagai parti di seluruh Sabah pada kali ini.

Previous articleCrowded contests: Inanam (13 corners), Karambunai (11), Darau (6)
Next articleEveryone’s jumping in