PBS membuka ruang pelapis kepimpinan muda memastikan kesinambungan perjuangan parti

102

Joniston bersama calon GRS Joeynodd Bansin (kanan) di Moyog.

PENAMPANG : – Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan bahawa PBS terus membuka ruang luas kepada pelapis kepimpinan muda dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti.

Beliau berkata kemunculan calon muda berkualiti seperti Joeynodd Bansin di Moyog dan Dr Bonaventure Boniface di Tamparuli, masing-masing dicalonkan di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mencerminkan komitmen PBS membina generasi baharu yang berkeupayaan memimpin.

Menurutnya, PBS kekal relevan dan terus bersama rakyat serta berperanan aktif dalam politik Sabah sebagai parti komponen yang mengukuhkan GRS.

“Kita dalam PBS sejak awal dipimpin oleh barisan pejuang muda yang bersemangat tinggi, dan tradisi itu tidak pernah terputus,” kata Joniston yang hadir berkempen di Moyog, pada Sabtu.

“Semangat ini diteruskan dalam kepimpinan generasi ketiga di bawah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan saya percaya gabungan pengalaman pemimpin senior dan tenaga profesional muda akan membawa dinamik baharu kepada pembangunan kawasan,” katanya.

Tambah beliau, Moyog serta Tamparuli merupakan kerusi tradisi PBS, dan parti itu sedia mempertahankannya di bawah tiket GRS bagi memastikan pengaruh dan khidmat kepada rakyat di kawasan tradisi terus terpelihara.

Moyog diwakili ADUN PBS dari 1986 sehingga 1999.

Joniston, yang juga ketua penerangan GRS , yakin pembaharuan kepimpinan ini memberikan calon-calon muda PBS peluang terbaik untuk memimpin kawasan masing-masing dan menyemarakkan khidmat mereka kepada masyarakat.

Previous articleSokongan Hazem semakin bertambah
Next articleTanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change