35

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

KUALA LUMPUR : – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan tentang peranan Kerajaan Persekutuan terhadap bekalan elektrik di Sabah.

Dalam sesi pertanyaan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, beliau meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan peranan yang masih dimainkan dalam menstabilkan bekalan elektrik di Sabah selepas urusan hal ehwal bekalan tenaga itu diserahkan kepada wilayah berkenaan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam jawapan bertulis memaklumkan, Kerajaan Persekutuan komited untuk terus menyalurkan subsidi bekalan elektrik kepada Kerajaan Sabah sehingga tahun 2030.

“Jumlah siling indikatif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bagi tahun 2024 hingga 2030 yang merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT) adalah sebanyak RM3.54 bilion.

“Jumlah ini adalah berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga jika Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan pelarasan tarif elektrik dalam tempoh tersebut.

“Subsidi ini perlu dimohon oleh Sabah Electricity melalui Kerajaan Negeri Sabah dan tertakluk kepada rundingan, pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan,” jelas PETRA.

Menurut kementerian itu, segala pelan pembangunan penjanaan elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek serta penyelesaian isu-isu dan masalah berkaitan pembekalan elektrik di Sabah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah sepenuhnya sejak diserahkan daripada Kerajaan Persekutuan  pada 3 Januari 2024.

Bagi membantu Sabah dalam fasa peralihan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan peruntukan pembangunan bagi projek bekalan elektrik negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) diberikan secara pinjaman dengan mengemukakan permohonan mengikut Rolling Plan (RP) menerusi PETRA.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga sudah melaksanakan projek membina dan menaik taraf talian penghantaran dan pengagihan bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah PETRA.

“Projek-projek PPKBES yang sudah siap akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Sabah Electricity yang akan memiliki dan mengendalikan aset tersebut.

“Pada tahun 2024, sebanyak tujuh tujuh projek siap telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang merangkumi tiga projek membina dan menaik taraf talian penghantaran, tiga projek talian pengagihan dan satu projek on-line monitoring sistem bekalan elektrik bagi Sabah dan Labuan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di negeri Sabah agar rakyat dapat manfaatnya serta sistem pembekalan elektrik menjadi lebih stabil dan terjamin,” tambah PETRA.

Previous articleKPM lulus pembinaan sekolah baharu di bawah PPD Tuaran
Next articleKerajaan Perkukuh Strategi Pelancongan Sabah, jelas MOTAC kepada Madius