KOTA KINABALU : – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, disahkan meninggal dunia awal pagi Jumaat selepas beberapa hari menerima rawatan intensif akibat jangkitan paru-paru.
Menurut kenyataan daripada ahli keluarganya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 1.46 pagi di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Bung Moktar sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya dilaporkan merosot secara mendadak. Ramai rakan seperjuangan politik, pemimpin negeri serta orang awam dilihat hadir menziarahi hospital sejak beberapa hari lalu.
Pemergian beliau berlaku hanya beberapa hari selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November 2025.
Bung Moktar merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh di Sabah. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999, selain memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah antara tahun 2020 hingga 2023.
Sepanjang kariernya, beliau dikenali sebagai pemimpin lantang yang memainkan peranan besar dalam gelanggang politik negeri, khususnya dalam Barisan Nasional Sabah.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang untuk urusan pengkebumian di Sandakan.
Pemergian Bung Moktar meninggalkan kekosongan penting dalam kepimpinan UMNO Sabah serta membuka lembaran baharu dalam landskap politik negeri. – SabahNow



