Philip (atas) bergambar bersama murid, ibu napa dan tenaga pengajar Projek Rintis.
PENAMPANG : – Seramai 30 murid Tahun 1 daripada dua sekolah rendah di Penampang menerima sijil tamat belajar Bahasa Kadazan dalam Projek Rintis anjuran Persatuan Bahasa Etnik Sabah (SELA) di Dewan Pacost Trust di sini pada Sabtu.
Mereka adalah 15 murid daripada SK Kibabaig dan 15 lagi dari SK Sugud yang berjaya menamatkan sesi belajar bahasa Tangaa iaitu dialek yang ditutur oleh penduduk Kadazan Penampang.
Murid yang dipilih ini terlibat dalam projek rintis kelas bahasa etnik Kadazan selama 12 minggu yang bermula pada 22 Ogos sehingga 21 November 2025 anjuran SELA.
Penasihat SELA Datuk Philip Benedict Lasimbang dalam ucapannya berkata, Projek Kelas Rintis Bahasa Etnik Kadazan ini adalah platform yang sangat baik untuk mempromosi dan memelihara bahasa Kadazan yang diguna penduduk daerah Penampang.
“Ia juga adalah landasan untuk memperkenalkan kekayaan budaya dan tradisi kita kepada generasi muda.
“Saya yakin projek ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi contoh penanda aras bagi projek-projek bahasa etnik lain di Sabah,” katanya di majlis penutupan projek rintis itu di sini pada Sabtu.
Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian 30 murid yang menyanyikan lagu Kadazan, tayangan video kelas rintis dan sesi perkongsian ibu bapa serta murid.
Tiga lagi bahasa etnik yang terpilih untuk projek rintis pertama ini adalah etnik Timugon, Lotud dan Tatana yang diadakan di daerah penutur bahasa itu. Bahasa empat etnik ini dipilih sebagai tumpuan SELA yang ditubuhkan pada 2024.
Philip mahu mengajak semua ahli rumpun Kadazandusun Murut untuk terus bekerjasama memelihara dan mempromosikan bahasa etnik masing-masing serta memperkenalkan kekayaan budaya kepada dunia.
Katanya, proses kerja dan tindakan yang dibuat oleh SELA sejak ia ditubuhkan pada tahun 2024 memerlukan kerjasama melalui konsep ‘mitatabang’ atau sama-sama berganding bahu untuk menjayakannya projek itu.
Walaupun baru setahun jagung, beliau gembira melihat pelaksanaan projek ini yang melibatkan banyak pihak termasuk pengajar, peserta dan sukarelawan yang telah bekerja keras untuk memastikan kejayaannya.
Katanya, kelak Projek Rintis ini bukan sahaja boleh diadakan di sekolah tetapi mana-mana organisasi dan di kampung-kampung juga boleh meminta supaya kelas bahasa Kadazan ini diadakan di sana.
“Saya gembira Guru Besar dua sekolah di Penampang memberi kerjasama dan malah mereka melihat betapa pentingnya projek ini yang menggalakkan anak-anak semuda usia enam tahun belajar bahasa ibunda.”
“Saya menyeru semua ahli rumpun masyarakat kita melakukan aktiviti ‘mitatabang’ (bergotong-royong) dalam memelihara dan mempromosikan bahasa Kadazan, serta memperkenalkan kekayaan budaya kepada dunia demi memastikan kelestarian bahasa dan budaya kita.
“Saya dan barisan kepimpinan SELA amat mengalu-alukan penyertaan, sokongan dan juga sumbangan dana daripada mana-mana pihak untuk menjayakan program-program kelestarian bahasa etnik di Sabah,” kata Philip.
Philip yang juga mantan pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) berkongsi usahanya bersama pihak pengurusan YBR untuk membantu mengembangkan bahasa etnik di Sabah melalui tajaan kewangan YBR.
“YBR telah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM400 ribu untuk menampung perbelanjaan melaksanakan pelbagai program latihan, penyediaan modul dan kurikulum pengajaran bahasa etnik Sabah.
“YBR juga telah memperuntukkan tajaan berjumlah RM7.5 juta kepada Universiti Pergurusan Sultan Idris untuk memulakan pengajian bahasa etnik di UPSI sebagai usaha meningkatkan martabat bahasa etnik Sabah di negara ini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi SELA Monih Epin berkata, ahli SELA yang terdiri daripada pelbagai individu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang masing-masing sentiasa bersedia untuk menjalinkan kerjasama strategik.
“Kita menerima input-input berguna dari pihak-pihak luar bagi mencapai matlamat kelestarian bahasa etnik dan budaya anak-anak negeri Sabah.
“Saya menghargai semua tenaga pengajar yang telah terlibat dalam projek kelas bahasa etnik Kadazan yang diketuai oleh Bernadette Peter Lidadun dan juga para penyelidik serta ibu bapa peserta.
“Tanpa penyertaan, kerja keras dan dedikasi anda, projek ini tidak akan menjadi sebuah kejayaan,” tambahnya.
Monih menegaskan usaha memelihara dan mengembangkan bahasa etnik Sabah adalah satu cabaran dan memerlukan kerjasama semua pihak.
“Bahasa ibunda kita adalah satu kurnia daripada Tuhan dan kita semua harus berusaha memainkan peranan dan tanggungjawab kita untuk memelihara pemberian percuma Tuhan kepada kita,” katanya



