Kerajaan digesa perkukuhkan sistem kebajikan bantu wanita

272

Edna Jessica Majimbun…ibu tunggal yang layak menerima bantuan sering berdepan kesukaran akibat proses permohonan yang rumit dan sistem digital yang tidak mesra pengguna.

KOTA KINABALU : – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Jessica Majimbun, menggesa sistem kebajikan diperkukuh bagi membantu wanita yang semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya ibu tunggal dan wanita warga emas.

Beliau berkata, ramai wanita terpaksa mengurangkan perbelanjaan peribadi, menangguhkan rawatan kesihatan dan mengetepikan keperluan diri demi memastikan keperluan keluarga terus terjaga.

“Pengorbanan ini jarang direkodkan dalam statistik rasmi walaupun memberi kesan besar terhadap kesejahteraan keluarga,” katanya ketika berucap dalam perbahasan Bajet Negeri Sabah 2026, Isnin lalu.

Edna memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kadar inflasi negara berada pada 1.3 peratus pada Oktober 2025, manakala kos perumahan, utiliti dan bahan api turut meningkat sekitar 1.1 peratus.

Menurutnya, peningkatan harga barangan asas, kos perumahan dan pengangkutan memberi tekanan berterusan kepada kehidupan wanita, terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ibu tunggal yang layak menerima bantuan sering berdepan kesukaran akibat proses permohonan yang rumit dan sistem digital yang tidak mesra pengguna, manakala wanita warga emas pula tercicir akibat kekurangan maklumat.

Selain itu, katanya, wanita bekerja berpendapatan rendah turut terhimpit dengan kos sewa rumah, pengangkutan dan penjagaan anak serentak, namun tidak memenuhi syarat bantuan sedia ada.

Edna turut menekankan isu perumahan, keadaan jalan raya dan akses internet sebagai faktor yang meningkatkan kos sara hidup serta menjejaskan keselamatan dan peluang ekonomi wanita.

Beliau menegaskan peruntukan Bajet Negeri perlu disalurkan secara adil dan berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira perbezaan politik.

“Keberkesanan bajet bukan diukur pada jumlah peruntukan, tetapi pada impaknya terhadap kehidupan harian rakyat,” katanya.

Previous articlePemaba mahu bina akademi mini TVET di Penampang
Next articleAnak Bung Moktar diumum calon PRK Parlimen Kinabatangan