Anak Bung Moktar diumum calon PRK Parlimen Kinabatangan

409

Naim Kurniawan Moktar…ia bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekali gus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan.

KUALA LUMPUR – Anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Naim Kurniawan Moktar telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan.

“Calon BN untuk kawasan Parlimen Kinabatangan telah diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Makan BN di Hotel Premiera iaitu saudara Naim Kurniawan Moktar (anak Allahyarham Bung Moktar Radin).

“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,’’ katanya.

Sementara itu, Naim menerusi hantaran di Facebooknya menzahirkan terima kasih kepada Zahid selaku pengerusi BN di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan.

“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekali gus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan.

“Alangkah sempurnanya jika “moment” ini disaksikan oleh bapa saya. Namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik,’’ katanya.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong susulan kematian penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 lalu, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.

Manakala pada Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal. – scoop.com

Previous articleKerajaan digesa perkukuhkan sistem kebajikan bantu wanita
Next articleClinic stretches beyond limits as Telupid doctors shoulder fivefold workload