Benny (lima dari kanan) dan Pengurus Besar PPK Inanam, Sundang Tingkolom (empat dari kanan) bersama barisan AJP PPK Inanam di hadapan bangunan pejabat PPK Inanam di Bandar Putra Jalan Tuaran.
KINABALU : – Pendapatan kasar RM1.4 juta pada 2025 mencatat rekod keuntungan buat tahun keempat berturut-turut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Inanam.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Inanam, Benny Franklin Hartheman berkata, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pengurusan strategik organisasi serta komitmen tinggi ahli peladang meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian di kawasan tersebut.
Menurutnya, kejayaan berterusan itu adalah hasil usaha bersepadu antara Ahli Jemaah Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh ahli peladang yang konsisten memperkukuh operasi serta memperluaskan aktiviti ekonomi pertanian.
“Prestasi memberangsangkan ini membuktikan bahawa organisasi peladang mampu mencapai kestabilan kewangan dan pertumbuhan mampan sekiranya pengurusan dilaksanakan secara berdisiplin serta berpandukan perancangan strategik yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama AJP PPK Inanam 2026 di pejabat pertubuhan itu di Bandar Putera KM15 Jalan Tuaran pada Khamis.
Katanya, kejayaan itu mengukuhkan peranan PPK Inanam sebagai pemacu pembangunan ekonomi peladang setempat sekaligus menyumbang kepada pengukuhan sektor agromakanan di Sabah.
Menurutnya, pendapatan utama PPK Inanam setakat ini banyak disumbangkan dari pemasaran barang runcit terutama beras dan kerja-kerja kontrak.
“PPK Inanam akan terus memberi fokus kepada pembangunan kapasiti ahli, penerapan teknologi pertanian moden dan penerokaan peluang ekonomi baharu bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dikekalkan pada masa hadapan,” katanya.
.



