Tiada Kompromi Terhadap Rasuah: Desakan Siasatan Menyeluruh dan Pemantauan Ketat Kerajaan Negeri

50

SANDAKAN : – Enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN Sandakan memandang amat serius penahanan seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan pemberian projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Calvin Chong (N55 Elopura), Lisa Alban (Sungai Sibuga), Alias Hj. Sani (Sekong), Arunanarsin Taib GumGum), Alex Wong (Karamunting) dan Alex Thien (Tanjong Papat) dalam satu kenyataan bersama hari ini menyatakan bahawa : –

  • Projek yang sepatutnya membantu golongan memerlukan telah disalahgunakan demi kepentingan peribadi adalah sesuatu yang amat mendukacitakan serta tidak boleh diterima sama sekali.
  • Sebagai wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah, kami menegaskan bahawa sebarang bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
  • Program perumahan seperti Rumah Mesra SMJ diwujudkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki tempat tinggal yang selamat dan bermaruah, bukannya menjadi ruang untuk kepentingan peribadi, kronisme atau manipulasi kuasa.

Mereka menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan secara tegas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Siasatan tidak boleh terhad kepada individu yang ditahan sahaja, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian proses daripada kelulusan projek, pemilihan kontraktor, aliran kewangan, hinggalah kepada kemungkinan wujudnya pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Jika terdapat unsur rangkaian atau sistem yang membolehkan penyalahgunaan ini berlaku, maka ia mesti dibongkar sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, mereka menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh sekadar menunggu hasil siasatan semata-mata.

Kerajaan negeri mesti mengambil tanggungjawab proaktif untuk memantau perkembangan kes ini secara rapi serta memastikan langkah pembetulan dilaksanakan segera.

Ini termasuk memperketatkan sistem pemantauan pemberian projek, memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, meningkatkan ketelusan proses kelulusan, serta memastikan audit berkala dilaksanakan terhadap semua program bantuan perumahan rakyat.

Mereka juga menuntut supaya hasil siasatan dan sebarang tindakan susulan dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat.

Ketelusan adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan awam terhadap sistem pentadbiran.

Rakyat berhak mengetahui bagaimana dana awam diuruskan dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

Kes yang berlaku ini harus menjadi peringatan serius kepada semua pihak bahawa integriti dalam perkhidmatan awam bukan pilihan, tetapi kewajipan. Kami menegaskan bahawa tiada sesiapa pun harus dilindungi jika terbukti bersalah, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

Mereka juga menegaskan akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti dan akan mendesak tindakan tegas diambil sehingga ke peringkat pendakwaan jika terdapat bukti kukuh.

Perjuangan membanteras rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten, berprinsip dan tanpa kompromi demi memastikan keadilan ditegakkan, integriti dipelihara dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

Previous articleAvoid bringing Malay unity rhetoric into Sabah