Home Berita PBS kukuh di usia 40 tahun, terus perjuangkan hak Sabah

PBS kukuh di usia 40 tahun, terus perjuangkan hak Sabah

16

Dr. Joachim Gunsalam…pengalaman telah menjadikan PBS sebuah parti yang tidak mudah goyah.

KOTA KINABALU : – Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini meraikan ulang tahun ke-40 dengan penuh kebanggaan atas sejarah panjang perjuangannya dalam landskap politik negeri.

Pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa meskipun pelbagai cabaran ditempuh, PBS tetap teguh berdiri dan terus memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah.

“Kini kita sudah berusia 40 tahun. Dalam sejarah perjuangan kita, kita pernah menjadi kerajaan, menjadi pembangkang, bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan, menjadi pembangkang semula, dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun PBS ke-40 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, malam ini.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli PBS mengenai cabaran yang dihadapi oleh parti sepanjang empat dekad ini.

“PBS telah melalui suka dan duka, diherdik dan dipandang rendah, malah ada yang meramalkan kejatuhan parti ini. Namun segala cubaan untuk melemahkan PBS gagal. Hari ini, kita masih berdiri teguh dan meraikan ulang tahun ke-40, usia yang cukup matang bagi sebuah parti politik,” katanya.

Dr. Joachim juga menegaskan bahawa asas perjuangan PBS tetap relevan hingga ke hari ini.

“Ramai mungkin lupa atau tidak tahu tentang asas perjuangan PBS. Ada yang seusia dengan parti ini atau masih bersekolah sewaktu PBS ditubuhkan.

Namun, hari ini mereka sudah menjadi pemimpin parti ini. PBS sejak dahulu hingga kini tetap berjuang untuk kestabilan politik, kemajuan dan kemakmuran Sabah,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan PBS masih penting untuk masa depan Sabah, terutamanya dalam memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan membangunkan negeri Sabah yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Menyentuh mengenai peralihan kepimpinan tertinggi dalam PBS, Dr. Joachim berkata, apabila Presiden, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mengamanahkan kepada beliau untuk menjalankan tugas-tugas Presiden, beliau berjanji untuk meneruskan kerja dan perjuangan murni PBS.

“Namun, tugas ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada setiap ahli parti,” ujarnya, sambil menyeru setiap ahli PBS untuk bekerja keras memperkasakan parti demi negeri dan rakyat dengan semangat kebersamaan dan perpaduan.

“Untuk memastikan PBS mempunyai suara yang lebih lantang, kita harus lebih proaktif dan melahirkan ahli-ahli yang berkualiti. Kita mengalu-alukan profesional, ahli akademik dan mereka yang berpengalaman untuk menyertai PBS kerana kita semua mahu yang terbaik untuk Sabah,” katanya. 

Dr. Joachim turut menekankan bahawa pengalaman telah menjadikan PBS sebuah parti yang tidak mudah goyah.

“Kita meneruskan perjuangan dengan semangat juang dan kesetiaan. Marilah kita bangkit dan teruskan perjuangan murni ini. Segala pahit manis yang telah dilalui harus dijadikan pedoman untuk memperbaiki kelemahan dan mencari formula terbaik bagi mengukuhkan PBS,” katanya.

Dengan ulang tahun ke-40 ini, PBS terus bertekad untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah dan memastikan kestabilan serta kemajuan negeri untuk generasi akan datang.

Turut hadir ialah Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bersama isteri, Datin Seri Chhunlin Roeung; Pengerusi Penasihat Perdana yang juga pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama isteri, Puan Sri Genevieve; Timbalan-timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai bersama isteri, Datin Seri Dr. Vicky Yee; Datuk Jahid Jahim; Naib-naib Presiden, Datuk Johnny Mositun, Datuk Haji Ruslan Muharam, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Malianah Ugau; Ketua Pergerakan Pemuda Dr. Christoper Mandut; isteri kepada Dr. Joachim, Datin Seri Linda Ewit, Ahli-ahli Majlis Tertinggi serta Penasihat-penasihat Perdana PBS.