Friday, October 18, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Bajet besar untuk pastikan Sabah dapat pendidikan terbaik: Hajiji

Hajiji menyampaikan anugerah Tokoh Guru kepada mantan Pengetua Cemerlang Jusa C, Sunthararajoo  di majlis MAPENS di sini.

Hajiji bergambar kenangan bersama warga pendidik.


KOTA KINABALU (Khamis 17 Ogos): Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Katanya, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi membantu 1,600 sekolah di Sabah melalui program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).

Manakala sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi Bantuan Penyelenggaraan Kecil  Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 serta ke bawah.

Menurutnya, bagi memperkasa Pendidikan STEM di negeri Sabah, Kerajaan memperuntukkan RM250,000 bagi Program STEM FIESTA dan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta dan dijangka siap pada penghujung 2023.

“Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Kerajaan juga merancang melaksanakan projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu. 

“Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS”, katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Grand Ballroom Magellan Sutera Hotel pada Khamis.

Hajiji berkata, melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM 320,000 untuk mewujudkan 16 sudut sains di sekolah rendah, termasuklah memberi sumbangan bagi membaikpulih 14 Makmal Sains sekolah Menengah pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM280,000.

Menurutnya, pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan pada tahun ini diteruskan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang terbukti mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40.

“Dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan,” tambahnya.

Dalam konteks itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tugas, peranan dan tanggungjawab dalam memberikan pendidikan kepada rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Hajiji turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 48 penerima Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS), sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik di atas perkhidmatan yang cemerlang dan komitmen yang tinggi.

“Sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik khasnya pendidikan di negeri Sabah amat dihargai.”

Katanya, komitmen dan usaha murni para penerima anugerah dalam menyampaikan amanah dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan wajar dikagumi dan dijadikan teladan kepada semua.

“Harapan saya agar seluruh warga pendidik terus melakar kejayaan dan menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, terus beristiqamah dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian untuk melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global.”

“Ini penting diberi penekanan kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa 

kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan. Justeru, kita mahu melahirkan modal insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan bersama-sama kerajaan untuk membina negara bangsa yang merupakan harapan kita semua”, tegasnya.

Popular Articles