Saturday, July 27, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Sekolah khas untuk pelajar miskin tidak sesuai, cipta sistem kasta 

Masiung

Oleh Hardy Joe 

KOTA KINABALU (Jumaat, 18 Ogos): Penubuhan sekolah khas pelajar miskin di Sabah dan Sarawak seperti cadangan kerajaan perpaduan dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa di dua negeri itu.

Sebaliknya, kerajaan perpaduan sewajarnya memberi tumpuan kepada menaik taraf ratusan sekolah daif di dua negeri itu, berbanding menubuhkan sekolah khas pelajar miskin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, kerajaan perpaduan perlu memberi tumpuan kepada menaik taraf ratusan sekolah daif di Sabah dan Sarawak daripada menubuhkan sekolah khas itu.

“Ini kerana, jika penubuhan sekolah khas itu dilakukan sekarang dilihat kurang sesuai dengan situasi semasa di dua negeri terbabit.

“Walaupun penubuhan sekolah khas itu mungkin mempunyai niat baik, namun tidak relevan untuk dilaksanakan kerana masih banyak sekolah dan asrama daif di Sabah dan Sarawak yang memerlukan pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, penubuhan sekolah khas pasti memerlukan perbelanjaan lebih tinggi berbanding menaik taraf sekolah daif yang sedia ada.

“Cadangan mewujudkan sekolah khas untuk pelajar miskin tidak praktikal kerana ia akan mencipta ‘sistem kasta’ yang membezakan latar belakang ibu bapa dan pelajar,” katanya.

Sehubungan itu, Masiung berkata, cadangan itu perlu dikaji semula kerana boleh memberi kesan psikologi yang tidak baik kepada pelajar.

Katanya, ketika ini apa yang penting kerajaan perlu meningkatkan insentif dan bantuan kepada pelajar miskin untuk memastikan mereka dapat meneruskan pengajian.

Beliau berkata, banyak kaedah lain Kementerian Pendidikan membantu pelajar miskin, antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain memberi bantuan keperluan sekolah seperti beg dan baju sekolah.

“Mungkin sudah tiba waktunya satu dan dasar untuk membantu pelajar miskin dirancang mengikut keperluan sebuah negeri dan wilayah.

“Memisahkan taraf dan mengkategorikan pelajar miskin dan golongan berada adalah tidak rasional bagi sebuah Kerajaan Madani ketika negara sedang menuju ke arah sistem pendidikan yang bersifat inklusif,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang ditempatkan di sekolah termiskin pasti akan merasa rendah diri dan tertekan emosi apabila bergaul dengan rakan sebaya mereka yang belajar di sekolah lain.

Popular Articles