KOTA KINABALU : – Nama yang kurang dikenali Lee Li Mei menumbangkan nama besar dalam politik Datuk Seri Christina Liew Chin Jin selepas berjaya merebut jawatan Ketua Cabang Keadilan yang diadakan di sini pada 20 April.
Liew adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah kalah apabila Lee Li Mei memperolehi 1,381 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan beliau yang mendapat 1,157 undi.
Sebanyak 2,538 undi dikeluarkan dalam Pemilihan Parti Keadilan bagi sesi 2025-2028.
Keputusan diumumkan menerusi laman sesawang Pemilihan KEADILAN 2025 dan disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta anggota JPP, Sivarasa Rasiah.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menang besar di Cabang Kota Belud sekaligus mengekalkan jawatannya selaku Ketua Cabang apabila menewaskan dua pencabarnya, Madeli @ Modily Bangali dan Azhrie Jenaim.
Ahli parlimen Sepanggar itu menang dengan memperolehi 1,405 undi berbanding Madeli yang juga bekas calon parlimen Pakatan Harapan (PH) Kota Belud (100) dan Azhrie (67).
Turut menang ialah Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Mohamamd Razeef Rakimin yang mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang KEADILAN Tuaran buat penggal kedua berturut-turut setelah menewaskan Abdul Ali Madtair dan Hampry Luaran.
Mohammad Razeef menang dengan memperoleh 352 undi berbanding Abdul Ali yang mendapat 243 dan Hampry 170 setelah 765 undi dikeluarkan daripada 868 anggota yang layak mengundi.
Di Cabang Kota Marudu penyandangnya Sazalye Donol Abdullah tewas kepada bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Zaidi Jatil yang memperolehi 1,031 undi berbanding Sazalye Donol hanya 548.
Dua lagi pencabar iaitu Jolius Majawai sekadar mendapat 648 dan Jasmon Jaji hanya 182 daripada 2,405 kertas undi yang dikeluarkan.
Antara ketua cabang lain yang mengekalkan jawatan masing-masing ialah Joseph Alex Chang (Penampang), Awang Husaini Sahari (Putatan), Romansa Lamin (Silam), Dikin Musah (Beaufort), Wendy Agong Baruh (Sipitang), Datuk Dr Sangkar Rasam (Keningau) dan Roslan Sapar (Kalabakan).