SANDAKAN : – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.55 Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, hari ini telah memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan serius berkaitan penyalahgunaan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Sandakan.
Maklumat awal mengenai isu ini diperoleh daripada sebuah hantaran yang tular di laman Facebook “SandakanKini”, yang memaparkan dakwaan berkaitan kes rasuah melibatkan pegawai CDO/UPPM N.55 Elopura.
Dalam hantaran tersebut, dinyatakan bahawa tujuh (7) unit Rumah SMJ yang dibina bersebelahan antara satu sama lain telah disalahgunakan apabila dijadikan rumah sewa kepada pihak ketiga dengan kadar RM500 sebulan.
Lokasi rumah-rumah tersebut dikenal pasti berada dalam kawasan DUN N.51 Sungai Manila.
Tindakan menyewakan rumah SMJ ini merupakan satu bentuk penyelewengan yang jelas, kerana projek ini diwujudkan khusus untuk membantu golongan miskin memiliki kediaman yang selesa dan selamat.
Malangnya, apabila rumah-rumah ini dijadikan sumber keuntungan oleh pihak tertentu, golongan yang sepatutnya dibantu terus terpinggir.
Yang miskin semakin miskin, yang kaya terus kaya.
YB Calvin Chong menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap peningkatan kes rasuah di Sabah, yang kian hari semakin meruncing.
Beliau menegaskan bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja mencemarkan integriti pentadbiran negeri, tetapi juga secara langsung menjejaskan peluang golongan susah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya memandang serius laporan ini. Kita tidak boleh membiarkan budaya salah guna kuasa ini berakar umbi dalam sistem pentadbiran kita.”
“Program seperti Rumah SMJ sepatutnya menjadi pelindung kepada rakyat marhaen, bukan dijadikan sumber kekayaan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.
Beliau turut mendedahkan bahawa kes aduan penyalahgunaan rumah SMJ bukan pertama kali, membuktikan wujudnya corak salah laku yang sistematik dan berulang.
“Sabah tidak boleh terus dibelenggu dengan gejala rasuah seperti ini. Rakyat berhak mendapat keadilan dan bantuan tanpa dipermainkan oleh pihak yang tamak dan rakus kuasa,” tambahnya.
Calvin menyeru agar SPRM bertindak tegas dan telus dalam menjalankan siasatan terhadap kes ini dan lain-lain kes seumpamanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai agar terus tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, demi memastikan tiada lagi ruang untuk penyelewengan berlaku.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan membanteras rasuah di setiap peringkat pentadbiran.