Shalmon Sanangan…ini bukan sekadar projek perniagaan tetapi simbolik perpaduan dan kerjasama strategik antara dua negeri serumpun.
KOTA KINABALU : – Masyarakat orang asal mahu Sabah menerima tawaran Premier Sarawak yang mahu berkongsi pemilikan syarikat penerbangan baharu Airborneo kerana ia berpotensi mengubah lanskap ekonomi dan sosial dua negeri di Borneo ini.
Presiden Pertubuhan Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah (Sunduan Nabalu) Shalmon Sanangan berkata, orang asal menyambut baik tawaran Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu.
“Kami dari Sunduan Nabalu sebuah pertubuhan yang mewakili masyarakat adat anak negeri Sabah, menyambut baik tawaran yang amat berharga itu. Kami melihatnya sebagai langkah proaktif yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk di kedua-dua negeri.
“Inisiatif ini bukan sekadar projek perniagaan. Ia adalah simbolik kepada perpaduan dan kerjasama strategik antara dua negeri serumpun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Shalmon, penubuhan sebuah syarikat penerbangan yang dimiliki bersama ini adalah manifestasi semangat Borneo yang sebenar.
Paling penting katanya, ia akan memendekkan perjalanan jarak fizikal dan merapatkan hubungan silaturahim di antara rakyat Sabah dan Sarawak.
Masyarakat orang asal kedua-dua negeri katanya melihat peluang keemasan itu sebagai harapan baru buat ribuan anak Sabah Sarawak yang kini mencari rezeki dan menetap jauh di Semenanjung Malaysia atau di luar negara.
Dengan kerjasama ini kata Shalmon, mereka yakin Airborneo dapat menawarkan tambang penerbangan yang lebih munasabah dan adil kepada mereka. Ini akan membolehkan mereka pulang ke kampung halaman dengan lebih kerap, terutama ketika musim perayaan.
Menurut Shalmon, setiap tahun penduduk daripada dua negeri Borneo ini selalu merungut dengan kadar tambang tinggi untuk melakukan perjalanan dalam negara.
“Tambang istimewa untuk anak-anak Sabah dan Sarawak di perantauan yang sering kali terbeban dengan kos penerbangan yang tinggi harus menjadi salah satu keutamaan jika kerjasama ini dapat direalisasikan.
“Kami gesa kerajaan negeri Sabah untuk segera duduk semeja dengan pihak Sarawak bagi membincangkan mekanisme terbaik untuk menyertai projek strategik ini,” katanya dan menambah peluang ini tidak harus dilepaskan.
Selain itu perkongsian ini akan turut menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan memberikan manfaat langsung kepada setiap keluarga dan komuniti di Sabah dan Sarawak.
Minggu lalu Abang Johari berkata, Sarawak tidak mempunyai halangan untuk berkongsi pemilikan syarikat penerbangan AirBorneo dengan Sabah jika negeri jiran itu ingin membuat pelaburan.
Beliau dipetik sebagai berkata, sudah memaklumkan tawaran itu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman serta beberapa pemimpin negeri itu bahawa Sarawak terbuka untuk berkongsi syarikat itu dengan Sabah.
Bagaimanapun pemimpin Sabah memberitahunya bahawa mereka perlu berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.
AirBorneo adalah penjenamaan semula syarikat MASwings selepas diambil alih oleh kerajaan Sarawak daripada Malaysia Aviation Group (MAG) melalui perjanjian jual beli (SPA) yang dimeterai pada 12 Februari lalu
AirBorneo dijangka memulakan operasi pada tahun depan apabila semua aspek perancangan berjalan lancar, termasuk dari segi kelulusan pihak berkuasa penerbangan.