
KOTA KINABALU : – “Kita berjuang untuk Sabah, oleh itu kita perlu menang demi keadilan untuk Sabah,” tegas Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menutup ucapan patriotiknya pada Selasa.
Majlis yang dihadiri oleh para penerima watikah itu menyaksikan Jeffrey memberi penekanan terhadap latar belakang perjuangan STARSABAH.
Beliau memberi pencerahan tentang realiti yang dihadapi Sabah serta harapan yang seharusnya menjadi kenyataan sekiranya hak-hak dan kedudukan Sabah dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan perjanjian yang telah termeterai.
Presiden STARSABAH turut menyentuh tentang pelbagai cabaran, halangan, tekanan, dan tuduhan yang dihadapi beliau sebagai seorang pemimpin dalam perjuangan menegakkan keadilan untuk Sabah.
Jeffrey menegaskan bahawa tanggungjawab memimpin rakyat dan menuntut keadilan adalah mandat yang harus dipikul demi masa depan dan kemakmuran Sabah serta rakyatnya.
Ketua Penyelaras STARSABAH Parlimen P.172 Kota Kinabalu, Mohd Raffee Mohd Shakir, dalam ucapannya pula menyatakan bahawa watikah yang diserahkan bukanlah sekadar sehelai kertas.
Beliau menyifatkannya sebagai amanah yang berat dan tanggungjawab suci untuk menjunjung aspirasi rakyat Kota Kinabalu dan Sabah secara amnya.
“Ia adalah janji kita untuk berkhidmat, membela, dan memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk setiap penduduk di parlimen kita,” ujar beliau.
Raffee juga menegaskan bahawa perlantikan ini adalah langkah pertama yang kritikal dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17). Beliau menyedari perubahan gelombang yang semakin dirasai dan keperluan untuk wakil rakyat yang tulus, berintegriti, dan berani memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Cara kita bekerja dari sekarang akan menentukan nasib kita pada hari penentuan nanti,” katanya.
Walaupun menyedari cabaran getir yang dihadapi, Raffee menaruh keyakinan tinggi terhadap komitmen, semangat, dan kesungguhan yang dipamerkan oleh ahli jawatankuasa yang baru dilantik. Beliau yakin bahawa dengan kerjasama dan dedikasi, mereka mampu mengatasi segala halangan.
Majlis tersebut menandakan permulaan komitmen STARSABAH P.172 Kota Kinabalu untuk bekerja tanpa henti dalam memastikan kemenangan gemilang demi rakyat, masa depan Sabah, dan parti. Mereka bertekad untuk membawa perubahan positif dan mewujudkan Sabah yang adil dan makmur.
Antara penerima watikah ialah Eliza Leong Kui Fui, Ketua Bahagian N.21 Luyang; Yong Ken Chau, Ketua Bahagian N.19 Likas; Ting Shu Kiong, Timbalan Ketua Bahagian N.20 Api-api; Leo Estrop, ahli N.19 Likas; dan Samuel Lai sebagai Setiausaha Penyelaras Parlimen. – FB Dr Jeffrey