SANDAKAN : – Barisan Nasional (BN) telah membangunkan Sabah lebih 34 tahun sekali gus menunjukkan parti itu lebih memahami kemahuan rakyat tempatan, tegas Ketua Sekretariat War Room Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan
Meskipun diserang oleh musuh terutama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan melabelkan Umno sebagai ‘parti Malaya’ namun Ahmad berkata, BN telah meletakkan asas kemajuan dan peningkatan hasil negeri Sabah.
Sedangkan BN, ujar beliau, adalah parti lokal dan nasional, dalamnya ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang 100 peratus tempatan.
“Mereka kata kita parti Malaya tetapi kitalah telah memajukan Sabah selama 34 tahun, GRS baru tiga tahun ada di Sabah tetapi bukan main mereka dabik kata parti lama,’’ katanya, lapor media tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan Umno Libaran di Sabah.
Ahmad turut memberikan contoh projek yang dijayakan seperti pembinaan lebuh raya Pan Borneo serta projek berimpak tinggi lain seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) dan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
Justeru Ahmad yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut meminta ahli parti itu lebih mengenali musuh dan berharap tiada kerjasama dengan GRS dan Warisan.
“Bebas yang dikatakan mahu tanding 10 kerusi pun musuh kita,” katanya.
Beliau yakin kemampuan Umno Libaran untuk mengekalkan DUN Sungai Sibuga dan Sungai Manila selain merampas kerusi Gum-Gum.
“Saya lihat persediaan cukup rapi dalam menghadapi PRN, tidak mustahil boleh menang besar nanti,” katanya. – scoop.my