Lawatan Pandikar Amin ke Kg Kamalaan beri isyarat akan tanding DUN Pintasan

83

Pandikar Amin… saya datang bukan sekadar melawat, saya datang sebagai anak jati Kota Belud yang mahu kembali berkhidmat.

KOTA BELUD : – Kemunculan semula Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia melawat ke Kampung Kamalaan di sini selepas sekian lama menyepi dari arena politik, menguatkan spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.

Lawatan ke perkampungan masyarakat Dusun di kawasan Pintasan itu adalah program pertama beliau selepas pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober lepas.

Dalam ucapannya, Pandikar memohon maaf kepada penduduk kampung kerana jarang berkunjung ke kawasan berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, dirinya bukan wakil rakyat ketika itu dan tidak mahu mencampuri urusan kawasan yang diwakili orang lain.

“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa saya jarang datang ke sini. Saya bukan wakil rakyat, dan saya hormat kawasan ini yang diwakili orang lain.

“Tapi hari ini saya datang bukan sekadar melawat, saya datang sebagai anak jati Kota Belud yang mahu kembali berkhidmat,” katanya.

Pandikar turut memberi bayangan untuk bersedia kembali ke gelanggang politik negeri, khususnya di DUN Pintasan yang pernah menjadi medan perjuangannya.

Beliau berkata, pengalaman dan semangat perjuangan untuk rakyat masih membara dan mahu memastikan suara masyarakat Iranun, Dusun dan semua etnik di Kota Belud terus didengar.

“Saya tidak datang untuk nostalgia kerana saya percaya kita boleh bangkit semula. Saya percaya DUN Pintasan perlukan wakil yang bukan sahaja faham sejarah, tetapi juga berani membawa perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, lawatan Pandikar itu juga disifatkan sebagai permulaan kepada gelombang kebangkitan politik tempatan.

Ramai pemerhati menjangkakan beliau akan membawa pendekatan baharu yang lebih inklusif dan berteraskan pembangunan akar umbi.

Pada masa sama, lawatan itu turut memberi indikasi  jelas bahawa  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan kerusi DUN Pintasan untuk diwakili calon USNO.

Previous articlePenyanyi Lotter P Edwin @ Dudu meninggal dunia
Next articleSabah village chiefs, JKKK members terminated after DUN dissolution