Friday, October 18, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

PRN Sabah 2 tahun lagi

Hajiji (tiga kanan) menerima cendera kenangan daripada Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis itu.

Oleh Nilam Raon

TAWAU (Ahad 27 Ogos): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu pimpinan parti di semua peringkat untuk memperkemaskan bahagian masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dua tahun lagi.

Beliau juga mengingatkan semua bahagian untuk memperbanyakkan ahli dan menubuh lebih banyak cawangan sebagai persediaan menghadapi PRN nanti.

“Harapan saya ialah supaya pimpinan parti di semua peringkat untuk memperkasakan bahagian masing-masing,” katanya di Majlis Santai Bersama Ahli Parti GRS di sebuah hotel di sini Ahad.

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, mereka perlu kuat dan kukuh untuk berdepan dengan pilihan raya yang akan diadakan dua tahun lagi demi kestabilan politik negeri secara keseluruhan.

Katanya, Gagasan Rakyat bersama dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi pilihan dan platform penting kepada ahli dan rakyat yang mahu negeri ini diterajui pemimpin dari parti tempatan.

Tambahnya, Gagasan Rakyat perlu berjuang bersama rakan-rakan dalam GRS bagi memastikan kemenangan dalam PRN itu kelak sekaligus menentukan masa depan negeri Sabah dapat dibangunkan dengan teratur dan rancak.

“Untuk menguatkan parti, kita mesti mempunyai ahli yang ramai dan untuk menguatkan parti kita mesti mempunyai banyak cawangan,” katanya.

Katanya, GRS akan mengadakan Mesyuarat Bahagian pada 15 September hingga 15 Oktober depan manakala Perhimpunan Agung GRS yang pertama di Kota Kinabalu akan berlangsung pada 13 dan 14 November depan.

“Saya yakin selepas semua penubuhan Bahagian selesai dan Mesyuarat Perhimpunan Agung selesai parti GRS akan menjadi satu parti lokal yang kuat,” katanya.

Beliau yakin GRS akan mempunyai keahlian lebih daripada 300,000 orang menjelang hujung tahun ini kerana pada ketika ini GRS sudah ada ahli berdaftar hampir 200,000 orang.

Beliau berkata, kewujudan GRS tepat dan baik untuk Sabah kerana menjadi pilihan rakyat tempatan bagi memastikan politik negeri stabil sekaligus mengukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi kuat kerana hanya dengan kekuatan dan perpaduan kita boleh menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya lagi.

GRS adalah gabungan parti politik yang mempunyai komponen parti terbanyak di Malaysia dengan memiliki tujuh parti tempatan dalam gabungan itu.

Gabungan ini telah memenangi majoriti kerusi di dalam pilihan raya negeri Sabah 2020 yang berlangsung pada 27 September 2020 dan berjaya membentuk kerajaan di Sabah.

Pada tahun 2022, Gabungan ini secara rasminya hanya menggabungkan bekas komponen Gabungan Bersatu Sabah (GBS), United Borneo Alliance (UBA), bekas parti bersekutu dan bekas ahli-ahli politik bebas.

GRS dilihat sebagai sebuah entiti parti gabungan politik tempatan sepenuhnya tanpa campur tangan parti luar Sabah. 

Popular Articles