Kerajaan Perkukuh Strategi Pelancongan Sabah, jelas MOTAC kepada Madius

56

Datuk Seri Panglima Madius Tangau

KUALA LUMPUR :  – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperkukuhkan promosi pelancongan Sabah serta memperkenal pakej baharu di pasaran domestik dan antarabangsa melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan platform digital, bagi mencapai sasaran lebih empat juta pelancong ke negeri itu.

MOTAC berkata, Sabah merupakan destinasi unik yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, selain mempunyai daya tarikan bertaraf antarabangsa yang mampu memperkukuh sektor pelancongan negara.

“Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan produk berasaskan komuniti, budaya dan alam semula jadi bagi menonjolkan destinasi unik serta memberikan pengalaman autentik kepada pelancong,” katanya dalam sesi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Dalam soalannya, Madius bertanya mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mencapai sasaran lebih empat juta pelancong ke Sabah serta peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dalam merealisasikan sasaran tersebut.

Menurut MOTAC,  sepanjang tahun ini, kementerian itu melalui agensinya, Tourism Malaysia telah menganjurkan pelbagai program promosi termasuk Pasca Lawatan ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 pada 21 Januari.

“Ia melibatkan 34 wakil agensi pelancongan dan media antarabangsa dari negara seperti Amerika Syarikat, Australia, India, Indonesia, Turki, Bulgaria, Kazakhstan, Switzerland, Kemboja, Laos, Korea Selatan, Oman, Sri Lanka dan Singapura.

“Selain itu, MOTAC menjalin kerjasama dengan Amazing Borneo dengan mencetak 800 risalah Sabah Fun Map yang diedarkan ke semua lapangan terbang di Sabah, manakala kerjasama dengan Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA) Sabah menerbitkan edisi ketiga MyBHA Sabah Hotel Map & Directory 2025 sebanyak 200 naskhah di semua hotel ahli.

“Sokongan juga diberikan kepada Sabah Tour Guide Association (STGA) sempena 1st World Federation of Tour Guide Associations (WFTGA) Trainer Convention 2025 pada 21 Februari, yang dijangka memberi impak positif kepada pembangunan modal insan pelancongan negara.”

Dalam pada itu, MOTAC turut bekerjasama dengan Sandakan Tourism Association (STAN) untuk menerbit 400 naskhah risalah A Guide to Sandakan Directory Brochure yang memaparkan destinasi menarik di Sandakan dan diedarkan di seluruh Sabah.
Kerjasama lain termasuk SabahTravel.com melalui kempen kod diskaun dalam talian dari April 2025 hingga Februari 2026, yang mempromosikan produk pelancongan Sabah kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kempen ini mencatat jualan sebanyak RM350,390.90 antara April hingga Ogos 2025 dengan 607 pelancong domestik dan 614 pelancong antarabangsa menggunakan kod promosi dari negara seperti Perancis, Itali, United Kingdom dan Singapura.

“Selain itu, MOTAC menekankan program Mansau-Ansau North Borneo Trail yang menonjolkan destinasi “hidden gem” di utara Sabah termasuk Tamparuli, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.

“Program ini melibatkan sembilan peserta termasuk media, pempengaruh dan rakan industri dari Kuala Lumpur, Sarawak dan Brunei, dengan lawatan ke destinasi ikonik seperti Tip of Borneo dan Floating Coral Bar, serta pengalaman budaya dan aktiviti rekreasi komuniti setempat. Nilai media program ini dianggarkan RM80,000,” ujar kementerian itu lagi.

Mengulas lanjut, MOTAC turut memberitahu, kerjasama juga dijalankan dengan Beautiful Borneo untuk mengadakan D’GATHERING: The Ultimate Outdoors pada 30 Ogos hingga 1 September 2025, melibatkan 145 peserta pencinta alam, serta mendapat liputan media dan KOL dengan nilai promosi dianggarkan RM50,000.

“Semua inisiatif ini disasarkan untuk menyokong sasaran ketibaan lebih empat juta pelancong ke negeri Sabah.

“Kerajaan turut menyediakan kemudahan Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa & Charter (GSPC) bagi menggalakkan pembukaan laluan baharu, peningkatan kekerapan penerbangan, penerbangan sewa khas dan mengekalkan kesinambungan laluan sedia ada.

“Ketibaan pelancong luar negeri dan domestik Sabah dijangka mencapai sasaran empat juta sebelum hujung tahun 2025 dengan penambahan 138 penerbangan mingguan dari 14 bandar di lapan negara termasuk China, Korea Selatan, Singapura, Brunei, Taiwan, Filipina, Vietnam dan Indonesia,” tambah MOTAC.

Previous article
Next articleNew State Cabinet to drive prosperity, progress for Sabah over next five years