Saturday, October 19, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Kes Ulu Tingkayu: 29 keluarga akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan

Galus Ahtoi

Ladang kelapa sawit Ulu Tingkayu

KOTA KINABALU (Selasa 29 Ogos): Seramai 29 keluarga pekebun kecil akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk terus mendapatkan keadilan terhadap hak mereka ke atas tanah di Ulu Tingkayu, Lahad Datu.

Aktivis Galus Ahtoi berkata, ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan pekebun kecil itu di Ulu Tingkayu untuk kekal mengusahakan ladang kelapa sawit atas tanah yang mereka diusahakan sejak dua dekad.

Mahkamah menolak rayuan pekebun kecil atas keputusan Mahkamah Tinggi Tawau yang membenarkan permohonan pihak Syarikat Mega Land Plantation Sdn Bhd untuk mengusir mereka atas alasan tanah tersebut sudah bergeran atas nama syarikat ladang itu.

Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang membuat keputusan itu melalui sidang zoom telah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Tawau bahawa ‘tidak boleh wujud Tanah Adat (NCR) dalam kawasan Tanah Simpanan/Hutan Simpan.’

Peguam Datuk Kong Hong Ming mewakili para pekebun kecil pro bono.

Menurut Galus, keputusan mahkamah rayuan itu ni adalah berita duka kepada pekebun-pekebun terbabit dan juga tamparan hebat kepada keberkesanan undang-undang tanah adat NCR untuk mempertahankan hak-hak orang asal Sabah.

Galus mempersoalkan bahawa jika benar tanah yang dibuka pekebun itu adalah kawasan simpanan atau Hutan Simpan, kenapa pihak Syarikat Mega Land Plantation boleh pula dikeluarkan Geran Tanah.

Beliau bagaimanapun masih menaruh harapan kes ini masih berjalan dan di peringkat siasatan Tanah PPHT Lahad Datu atau Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah. 

Mereka juga akan melanjutkan usaha mempertahankan tanah NCR dengan inkuiri tanah.

“Terima kasih kerana Peguam Datuk Kong Hong Ming masih bersetuju untuk membantu dan membela nasib pekebun-pekebun ini secara pro-bono sehingga di peringkat tertinggi di Mahkamah Persekutuan.

“Semoga para pekebun kecil terus bersabar, bertahan dan berdoa untuk sinar cahaya dari kegelapan akibat ketidak-amanah pihak-pihak tertentu ini dalam menangani kes ini,” katanya.

Menurutnya, penyampaian keputusan oleh Mahkamah Rayuan itu menunjukkan kes NCR bukan lagi suatu perkara yang mudah untuk diselesaikan. Ia sukar mempertahankan hak-hak penduduk kampung.

Dengan keputusan terbaru ini, kes NCR akan kembali mengalami zaman gelap dan ancaman besar kepada kehidupan Orang Asal yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada tanah.

Beliau menggesa orang asal untuk meneruskan perjuangan dengan bersatu kerana yakin akan sentiasa ada sinar cahaya di hujung terowong yang sangat gelap ini.

Popular Articles