Ramai kanak-kanak mengikuti kelas bertutur bahasa ibunda di KDCA
Oleh Penulis Talantang
PENAMPANG: Bertutur dalam bahasa ibunda adalah sangat penting bagi memperkasakan lagi identiti dan jati diri sesebuah kaum itu.
Di Sabah, ramai masyarakat orang asal mengadu betapa setiap hari semakin ramai yang tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka seperti bahasa Tangaa Kadazan, Dusun, Rungus, Murut dan suku-suku yang lain.
Oleh itu, Badan Penyelaras KDCA Daerah Penampang dan Putatan mengambil inisiatif membuka kelas pertuturan bahasa ibunda sejak dua bulan yang lalu untuk mengajar sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar bahasa asli ibunda.
Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengalu-alukan inisiatif yang diusahakan KDCA Daerah Penampang dan Putatan itu dengan berkata, mereka yang berminat boleh menyertai kelas itu untuk belajar bahasa Kadazandusun.
“Ramai generasi muda kini mula memahami nilai baik dan faedah mempelajari bahasa ibunda mereka sendiri,” katanya ketika merasmikan Kelas Pertuturan Bahasa Kadazandusun di Hamin Penampang Hongkod Koisaan Penampang itu pada Mei lalu.
Katanya, ramai golongan muda mula menunjukkan minat mempelajari bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Tangaa di Penampang, bahasa Rungus di Kudat, Lotud Dusun di Tuaran dan daerah-daerah lain di Sabah.
“Ini adalah perkembangan yang baik. Sudah banyak usaha dibuat oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) untuk memulihara bahasa-bahasa ibunda negeri ini dengan harapan bahasa mereka tidak hilang.
“Kita bimbang jika tiada usaha dilakukan sekarang, bahasa pelbagai kaum di negeri ini akan hilang seperti yang berlaku dengan bahasa-bahasa purba yang lain seperti Latin,” kata Presiden KDCA itu.
Sebelum itu, Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun sebagai pengerusi badan penyelaras dalam ucapan alu-aluannya memberitahu kelas bertutur itu mengajar sesiapa sahaja yang berminat belajar perbualan sehari-sehari dalam bahasa ibunda sehingga mereka fasih atau boleh berbual dengan yakin.
“Kelas ini diadakan sekali seminggu iaitu pada setiap Sabtu. Masa belajar adalah dua jam. Kelas dibuka kepada dua kategori iaitu kelas junior berusia 10 hingga 18 tahun dan kelas senior 19 tahun ke atas,” katanya.
Sehingga sekarang ada lebih 100 orang mendaftar untuk kelas senior dan 60 lagi kelas kanak-kanak. Kelas menerima pelajar senior berusia lebih 70 tahun.
Menurut Malakun, kebanyakan pelajar adalah daripada masyarakat KDMR sendiri yang berasa pengetahuan bahasa ibunda mereka belum cukup fasih. Kelas dibuka kepada semua orang tanpa mengira bangsa.
Beliau menekankan bahawa pembelajaran dalam kelas ini mudah diikuti dan tidak berat. Mereka diajar bertutur menggunakan bahasa Kadazandusun yang diguna sehari-hari dengan penggunaan nahu dan tatabahasa yang betul.
Mengenai tenaga pengajar, Malakun berkata seramai tujuh orang yang mendaftar sebagai guru. Mereka akan dibayar RM60 untuk sejam.
Katanya, kelas itu akan dibuka selagi ada permintaan dan yakin ramai akan mendaftar untuk menyertai kelas itu kerana semakin banyak yang menunjukkan minat menjadikan bahasa ibunda untuk berkomunikasi setiap hari.
Sementara itu, Pairin mahu masyarakat KDMR berbangga dengan bahasa mereka kerana ia adalah skil komunikasi yang mereka warisi daripada nenek moyang.
Beliau menyamakan belajar bahasa asal seperti kemahiran berkungfu. Semakin bagus seni mempertahankan diri seseorang itu, semakin kuat dia dapat melindungi diri sendiri dan keluarga.
“Semakin fasih kita bertutur bahasa ibunda, semakin mantap kita dapat pengetahuan untuk melindungi budaya, bahasa dan memperbaiki karakter kita dalam masyarakat,” katanya.
Pelajar Winfore Lajawah, 29, yang masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, dia mahu belajar untuk memperbaiki bahasa Kadazannya yang tidak fasih.
Katanya, walaupun berasal dari Penampang, dia tidak dididik dari kecil lagi untuk benar-benar menutur bahasa Tangaa itu dengan baik.
“Saya berasa agak malu ketika bersama rakan-rakan lain yang fasih bercakap Kadazan. Kadazan saya ‘nabati’ (tidak fasih). Saya mendaftar untuk memperbaiki kemahiran saya bertutur dalam bahasa Kadazan setiap hari.
“Saya juga mahu belajar bagaimana menggunakan tatabahasa Kadazan yang betul selain mahu menambahkan perbendaharaan kata yang masih banyak saya tidak tahu,” katanya.