Friday, September 20, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Program adopsi komuniti bawa perubahan positif di Kiulu: Joniston

Datuk Joniston Bangkuai bersama dengan pengerusi eksekutif Syarikat Qi, Datuk Seri Vijay Eswaran, dan pengarah ahli lembaga Good Shepherd Services, Datuk Petrus Gimbad (kiri), ketika dalam majlis penutupan Projek Program Adopsi Komuniti-Sabah di Kampung Lokub, Kiulu, pada Sabtu.

KIULU: Program adopsi komuniti telah membawa impak positif ke atas tiga buah kampung di sini yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar.

Diterajui oleh Yayasan RYTHM dengan kerjasama Good Shepherd Services, projek ini menekankan sokongan pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang mampan di Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menyatakan keyakinan beliau terhadap impak program itu semasa penutupan projek Program Adopsi Komuniti – Sabah di Kampung Lokub, pada Sabtu.

“Program ini menanamkan semangat kebanggaan serta daya tahan dalam komuniti kita, dan juga memperkasakan kampung kita untuk menjadi lebih berdikari. Ini merupakan peralihan ke arah masa depan yang lebih cerah untuk Kiulu.

“Sudah tentu kita mahu melihat peralihan ketara ini melalui dua elemen utama pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang mampan yang akhirnya membuka jalan kepada kemajuan dan kemakmuran jangka panjang untuk penduduk luar bandar,” katanya.

Dalam aspek sokongan pendidikan, projek ini telah memberi manfaat kepada 80 murid SK Lokub dan menekankan komitmen untuk memupuk individu dalam komuniti dengan melibatkan golongan belia-beliawanis dan ibu-ibu sebagai guru tuisyen.

Tambahan pula, Program Adopsi Komuniti ini juga memacu inisiatif pemerkasaan ekonomi, khususnya dalam bidang ekopelancongan.

“Saya difahamkan program itu turut menyediakan bimbingan dan latihan kepada belia dari tiga buah kampung berkenaan untuk merancang dan melaksanakan pelan perniagaan untuk tempoh dua tahun bagi tujuan memajukan kegiatan ekopelancongan di kampung masing-masing.

“Saya berharap penduduk Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang akan saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain dari segi tenaga, idea dan sumber untuk bersama-sama mempromosikan produk ekopelancongan.

“Sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, saya akan sentiasa menyokong penuh inisiatif ekopelancongan di Kiulu kerana saya percaya kepentingan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi bagi negeri Sabah,” jelas Joniston.

Beliau turut memuji Yayasan RYTHM dan Good Shepherd Services kerana menekankan pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan, di mana peserta telah mengusahakan kebun sayur di Kampung Ratau, kedai runcit di Kampung Talantang, dan perkhidmatan fotostat serta penjualan kuih-muih di Kampung Lokub.

Joniston juga menekankan usaha kerjasama kolektif  ketiga-tiga kampung  tersebut dalam membangunkan produk jenama ‘Kiulu Kio’ seperti sambal liposu dan kerepek batang pisang.

Beliau melahirkan harapan agar produk-produk ini mencapai pasaran tempatan dan dipromosikan secara global.

Yayasan RYTHM merupakan inisiatif impak sosial syarikat Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan, pelancongan, perniagaan jualan langsung, pembangunan hartanah dan peruncitan.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Qi Datuk Seri Vijay Eswaran, Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran, pengarah ahli lembaga Good Shepherd Services Datuk Petrus Gimbad, dan pengarah eksekutif Good Shepherd Services Dr Janie Liew turut hadir dalam majlis penutupan program adopsi komuniti tersebut. – Talantang

Popular Articles