KUALA LUMPUR: Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina akan bermula dari 8 Februari sehingga 13 Februari depan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menumpukan perhatian khusus kepada enam kesalahan trafik utama yang telah dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.
Enam kesalahan trafik utama yang menjadi fokus utama PDRM ialah:
i. Memandu melebihi had laju,
ii. Memandu di lorong kecemasan,
iii. Memotong di garisan berkembar,
iv. Memotong barisan ‘Q’,
v. Tidak mematuhi lampu isyarat, dan
vi. Menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
Semua pengguna jalan raya diminta untuk mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjamin keselamatan bersama.
Sementara itu, Polis juga menyarankan orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini mengisi borang menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang sudah dinaik taraf kepada VSP 2.0 bagi memastikan keselamatan harta benda mereka terjamin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata, VSP 2.0 ini ditambah baik dengan aplikasi lebih menarik dan mesra pengguna serta mengikut trend.
Menurutnya, sehubungan itu, orang ramai yang merancang pulang ke kampung boleh mengisi borang maklumat Balik Kampung di balai polis atau aplikasi VSP.
“Pihak Polis Diraja Malaysia sentiasa memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan harta benda yang ditinggalkan berada di dalam keadaan selamat dan terjamin.
Sumber: Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM