Friday, May 24, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Dua projek baharu usaha pelihara warisan budaya

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melakukan gimik perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di  Dewan Pusat Kebudayaan Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran pada Rabu.Pix JKM

TUARAN: Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah dan Projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan yang diluluskan kerajaan negeri pada tahun ini, antara usaha diambil untuk memulihara dan melindungi warisan budaya sebagai lambang ketamadunan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kedua-dua projek baharu itu diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Katanya, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah manakala Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan membabitkan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Projek pemetaan ini bertujuan mentransformasikan kaedah pengurusan maklumat budaya etnik Sabah kepada sistem maklumat moden selaras dengan Pelan Pendigitalan Kerajaan.

“Kajian itu pula bakal menyaksikan pembangunan semula bangunan bersejarah – Pejabat British North Borneo Chartered Company yang ketika dahulu musnah oleh kebakaran.

“Bangunan ini juga bertujuan memulihara dan melindungi tapak dan bangunan bersejarah, selain akan menjadi galeri seni budaya yang penting di Sabah. Kedua-dua projek ini merupakan projek baharu dan dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersalam dengan orang ramai selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran pada Rabu. Pix JKM

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik Tuaran pada Rabu.
Hajiji berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan jumlah pelancong ke Sabah yang dijangka mencecah tiga juta orang pada tahun ini, dapat dicapai.

Menurutnya, selain keseniaan dan kebudayaan, produk pelancongan seperti Pelancongan Berasaskan Komuniti merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau juga menggesa persatuan-persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan dan memartabatkan budaya etnik dan produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan masing-masing, selain bekerjasama memperkasa dan memulihara warisan budaya etnik Sabah.

Hajiji berkata, keistimewaan dan keunikan Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum, merupakan aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berharap Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah yang berlangsung selama empat hari sejak Ahad lalu, menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya di negeri ini.

“Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini iaitu untuk memulihara dan memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturrahim dalam kalangan penduduk setempat.

“Festival ini yang telah pun dimasukkan ke dalam kalender pelancongan, tidak hanya dihadiri oleh rumpun Bajausama malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan keturunan di negeri ini,” tegasnya.

Katanya, festival itu juga merupakan medium yang dapat menarik minat generasi muda terlibat sama dalam pelbagai acara keseniaan dan kebudayaan rumpun Bajausama di negeri ini. 

Popular Articles