Datuk Wilfred Madius Tangau melawat Tadau Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal bekalan elektrik menggunakan tenaga solar di Kota Marudu. – Foto Mohd Syukrie Johary
Oleh Hardy Joe
KOTA MARUDU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberi jaminan untuk menangani gangguan bekalan elektrik yang masih berlaku di daerah ini, Pitas dan Kudat.
Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sebagai permulaan SESB mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti langkah awal yang perlu diambil dalam membantu penduduk kawasan terbabit supaya mereka mendapat bekalan tenaga itu.
“Kita mengadakan perbincangan untuk membantu penduduk di zon utara yang kerap mengalami gangguan bekalan elekrtik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Tadau Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal bekalan elektrik menggunakan tenaga solar, di sini Rabu.
Tangau berkata, syarikat terbabit mampu menjana 58.8 megawatt tenaga suria seluruh Sabah.
Katanya, di Kudat syarikat terbabit mampu membekalkan kira-kira 2.4 megawatt tenaga elektrik.
“Saya percaya keupayaan itu sangat penting terutama dalam memajukan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga elektrik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, selain meneliti cabaran berkaitan bekalan elektrik dihadapi penduduk di Utara Sabah, turut mendengar keluhan pengguna dan memikirkan kaedah menanganinya.
Beliau berkata, berdasarkan data terkini sehingga Jun 2023, zon utara merekodkan seramai 46,592 pengguna elektrik.
Sehubungan itu, Tangau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Kota Marudu, Wetrom Bahanda kerana meluangkan waktu bersama-sama menjayakan dialog dan lawatan kerja di Utara Sabah.