Monday, September 16, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

2 beranak maut, 5 cedera parah kemalangan di Jalan Apin Apin

Mangsa yang cedera di dalam kenderaan pacuan empat roda diberi rawatan awal oleh pasukan bomba. – Foto/Bomba

KENINGAU: Dua beranak maut manakala lima lagi termasuk ibu dan empat anak mereka parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Apin-Apin, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa yang maut iaitu pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza, Masino Gelong, 45, dan anaknya, Claeryina Mecthildis Masino, 4.

Mangsa yang parah iaitu isteri kepada Masino iaitu Chelrina Philip, 33, dan empat lagi anaknya iaitu Mattheo Charbel, 2, Mica Chelsino, 7, Charlene Myra, 9, dan Camellia Mae, 11.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.22 tengah malam.

Katanya, seramai 13 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Avanza dan Nissan Navara. Terdapat tujuh mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza.

“Dilaporkan seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiga mangsa di dalam kenderaan Nissan Navara dilaporkan cedera.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa cedera dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Popular Articles