Monday, September 16, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

ESSCOM komited angkat semula imej zone kawasan kesejahteraan: Victor Sanjos

KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited mengangkat semula imej Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, menzahirkan komitmen tersebut semasa berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM Bersama Komuniti ESS Zone Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag dekat sini.

“ESSCOM telah mengangkat cadangan kepada Kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.

“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” tambahnya lagi.

Kira-kira 300 orang warga daerah Kinabatangan hadir menjayakan sesi libat urus tersebut yang diadakan di Dewan Sri Lamag dekat sini.

Tujuan libat urus diadakan adalah untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah, menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah tersebut secara menyeluruh atau hybrid.

Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Datuk Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus ini supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah sebaik mungkin agar kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan aluan, Pegawai Daerah Kinabatangan, Tuan Willey Lampaki mengingatkan warga Kinabatangan bahawa tugas menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan bukan hanya terletak di bahu pihak keselamatan semata-mata.

Selain Kinabatangan, kajian PKP ESS Zone Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah turut diadakan di lima lagi daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.

Turut diadakan semasa libat urus penyampaian sumbangan kepada 50 orang golongan asnaf dari sekitar daerah Kinabatangan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Hadir sama Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Ts. Haji Roslan bin Haji Mat Saad; Pemangku Ketua Balai Polis Daerah Kinabatangan, ASP Pengiran Mohamad Amin bin Pengiran Omar; Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri; Ketua-ketua Staf dan Pengarah Bahagian ESSCOM; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.

Popular Articles