Sapawi (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Semporna
Oleh Nilam Raon
SEMPORNA: Umat Islam di Sabah perlu mengikis semua sikap negatif sebaliknya berazam meningkatkan lagi kualiti amal ibadat, sahsiah, jati diri dan akhlak.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata, umat Islam juga hendaklah terus berusaha dan lebih gigih supaya mereka menjadi kuat dan disegani.
“Saya berharap umat Islam di Negeri Sabah menanamkan azam sempena tahun baru 1445 Hijrah untuk meningkatkan ilmu, kemahiran, keyakinan dan berani mengorak langkah melakukan perubahan kepada kehidupan yang lebih baik, maju dan berkualiti,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023 Peringkat Daerah Semporna di Dewan Masyarakat, Semporna di sini.
Katanya, perubahan tidak akan berlaku jika mempunyai minda yang negatif dan jiwa yang lemah kerana hanya dengan kekuatan dan keupayaan ilmu pengetahuan umat Islam akan lebih bersedia mendepani cabaran globalisasi ini.
“Saya yakin tema sambutan Ma‘al Hijrah tahun ini ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ boleh menjadi pencetus dan pemangkin usaha kita menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.
Sapawi mengajak umat Islam juga mempersiap dan memperkasa diri dengan memanfaatkan segala pengetahuan tenaga dan kemahiran yang dimiliki demi menempuh segala cabaran dan halangan.